Tuesday 29 November 2016

SEJARAH MENGENAI MALAIKAT MEMBINA KAABAH

Pembinaan Kaabah telah melalui beberapa peringkat. Riwayat tentang pembinaan ini sebahagiannya telah sabit dengan dalil yang terang dan jelas dan sebahagiannya pula hanya berdasarkan catatan ahli sejarah.

Terdapat catatan ulama menjelaskan binaan Kaabah dimulakan oleh para malikat. 

Al-Azraqi meriwayatkan kepada Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”

Setelah itu mereka berasa bersalah dan takut dimurkai oleh Allah SWT, lalu mereka bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepada Allah SWT. 
 
Kemudian Allah menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah iaitu Bait al-Mamur dan Allah berfirman kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy.

Kemudian Allah  telah mengutus para malaikat supaya membina baitullah di bumi supaya makhluk di bumi dapat melakukan tawaf sebagaimana makhluk di langit bertawaf di Bait al-Mamur.

Seterusnya disebut bahawa binaan Kaabah kemudiannya dibina Nabi Adam.  
 
Al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa beliau berkata: “Semasa Adam diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?” 
 
Allah berfirman: ‘Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.’

Kemudian Allah memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Adam berjalan menuju ke tapak pembinaan Kaabah.

Bumi telah dikecilkan oleh Allah dan tempoh perjalanannya menjadi pendek. Setiap tempat dipijak oleh Adam akan dijadikan oleh Allah sebagai kawasan yang subur dan berpenghuni.

Apabila sampai di Makkah, malaikat Jibrail memukul dengan sayapnya di tapak pembinaan Kaabah dan malaikat membawa batu kepadanya untuk dibina Kaabah.

Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil daripada lima gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Sementara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam.

Kata Ibn Abbas: “Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah). Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”

Imam al-Syafii meriwayatkan daripada Muhammad bin Kaab al-Qurazi katanya: “Sewaktu Adam menunaikan fardu haji, baginda telah berjumpa dengan malaikat. 
 
Mereka berkata kepadanya “Sempurnakan haji engkau wahai Adam. Kami telah melakukan haji sebelum daripada engkau semenjak 2000 tahun yang lalu.”

Kedua-dua catatan itu tidak sabit dari mana-mana ayat al-Quran mahupun hadis. Ia hanya menjadi perbincangan di kalangan sesetengah ulama sejarah.

No comments:

Post a Comment