Saturday, 20 August 2022

BAYAR HUTANG SAMA DENGAN JUMLAH DIPINJAM

  
Proses meminjam atau berhutang menggunakan konsep ‘qard’ iaitu peminjam perlu membayar jumlah pinjaman sahaja. Semasa memberi pinjaman, pemberi pinjaman tidak boleh menetapkan bayaran lebih. Begitu juga peminjan tidak boleh berjanji atau mengatakan akan membayar lebih.   
 
Bagaimanapun, ketika membayar hutang, peminjan boleh membayar lebih sebagai ucap terima kasih dan sebagainya secara sukarela. Begitu juga pemberi pinjam boleh menghalalkan kesemuanya (tidak perlu dibayar langsung) atau hanya mengambilnya sebahagian jumlah yang lebih kecil dari jumlah yang diberikan. 
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)." (Surah al-Baqarah, ayat 280) 
 
Perkara penting jangan disyaratkan semasa akad. Apabila sebut nak bayar lebih, seolah-olah ia disyaratkan dalam akad pinjaman. Jika keadaan itu berlaku, bayaran lebih itu, tidak kira berapa jumlahnya, adalah dikira riba yang diharamkan. 
 
Ia berbeza dengan sistem perbankan Islam yang mengkehendaki peminjam membayar lebih. Hakikat sebenarnya, perbankan Islam tidak memberi pinjaman kepada pelanggan. Sebaliknya mereka memberi pembiayaan, contohnya pembiayaan perumahan dan pembiayaan kenderaan. Perbankan Islam tidak menggunakan istilah pinjaman perumahan atau pinjaman kenderaan.  
 
Pembiayaan bermaksud bank membiayai pelanggan untuk memiliki rumah atau kenderaan. Bank-bank Islam guna konsep jual beli. Konsep jual beli dibenarkan dalam Islam. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba" (Surah al-Baqarah, ayat 275) 
 
Dalam ayat ini jelas menunjukkan dibenarkan jual beli. Sebab itulah. Perbankan Islam menggunakan konsep jual beli dalam pembiayaan kepada pelanggan sebab bank tidak boleh buat untung melalui pinjaman. Jika bank kenakan caj lebih daripada nilai pinjaman maka ia adalah riba. 
 
Konsep jual beli ada lebih daripada 19 konsep seperti Mudharabah, Musyarakah, Ijarah, Wakalah, Murabahah, Al-Sarf, Al-Rahn dan sebagainya. 
 
Dalam jual beli, kita boleh jual barang pada harga yang dipersetujui oleh kedua pihak. Begitu bank dan pelanggan. Jadi apabila bank jual rumah, aset atau komoditi pada harga RM500,000. Itulah hutang yang perlu pelangggan bayar kepada bank.

No comments:

Post a Comment