Tuesday, 30 August 2022

PASTA LOY KRATHONG MASYARAKAT SIAM

  
Pesta Loy Krathong disambut masyarakat keturunan Siam di beberapa negara, selain sambutan yang diadakan di negara Thailand. Sambutan pesta tersebut mempunyai 1,001 keunikannya yang tersendiri. Ia merupakan pesta keramaian yang sangat popular dan disambut dalam suasana penuh meriah. 
 
Selain menonjolkan keunikan budaya masyarakat Siam, masyarakat majmuk negara ini perlu menghormati adat resam mana-mana kaum di negara ini kerana ia merupakan resipi perpaduan dan keharmonian negara ini. 
 
Perayaan Loy Krathong telah diiktiraf oleh kerajaan serta dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara. Diharapkan budaya etnik Siam ini akan menjadi salah satu tarikan pelancong. Ia perlu dipelihara dan diperkasakan bagi menambah kepelbagaian kesenian dan kebudayaan di negara ini. 
 
Pesta Loy Krathong lazimnya disambut setahun sekali iaitu pada hari ke-15 dalam bulan 12 mengikut kalendar Lunar Thai atau sekitar permulaan November di negara ini. 
 
Perkataan Loy Krathong sebenarnya membawa maksud yang tersendiri iaitu 'Loy' dalam bahasa Thai bermakna hanyut manakala 'Krathong' pula bermaksud bunga teratai. 
 
Dalam erti kata lain Loy Krathong bermaksud menghanyutkan bunga teratai dan dari segi kepercayaannya pula sebagai tanda kesyukuran manakala upacara menghanyutkan bunga teratai bertujuan menghapuskan dosa para penganutnya dan memulakan kehidupan baharu yang lebih baik. 
 
Pesta tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Thai serta pertandingan Ratu Krathong. 
 
Pengunjung masyarakat Thai yang hadir masing-masing membawa bunga teratai Krathong untuk upacara pembacaan mentera oleh para Bhikkhu (sami Buddha). Upacara pembacaan mentera dengan harapan untuk mendapat restu dan kemuliaan daripada para Bhikkhu, selaku pendeta agama Buddha. 
 
Selepas upacara berkenaan tamat, kira-kira pukul 12 tengah malam, perarakan Krathong bermula menuju ke tasik atau sungai berdekatan. Kemudian, lilin dalam Krathong yang dibawa dinyalakan sambil mereka berdoa sesuatu dengan penuh harapan dan seterusnya menghanyutkan ke dalam tasik berkenaan.
 

 

No comments:

Post a Comment