Kampung Wakaf Aik adalah salah satu kampung
dalam Mukim Senok, Daerah Tawang, Jajahan Bachok, Kelantan. Kampung Wakaf Aik
dihubungkan dengan kampung lain dengan jalan raya iaitu Jalan Pantai Senok dan
Jalan Tawang – Pengkalan Datu.
Sejarah nama Kampung Wakaf Aik adalah berdasarkan
kepada sebuah wakaf yang dibina oleh Chan Aik, seorang peniaga berbangsa Cina.
Aik menjalankan perniagaan membeli kelapa
penduduk kampung dan kemudian diproses menjadi minyak masak. Minyak masak itu
dieksport ke luar Kelantan, termasuk ke Singapura.
Hubungan Aik dengan penduduk kampung amat
mesra. Lalu, untuk kemudahan penduduk kampung, dia membina sebuah wakaf dan
telaga di situ. Kedudukan wakaf tersebut adalah di simpang tiga jalan
memasuki ke Pantai Senok atau kini lebih dikenali Pulau Nani.
Wakaf itu menjadi tumpuan penduduk kampung
untuk berehat dan setengahnya sebagai tempat sembahyang oleh musafir yang
melalui kawasan itu.
Kewujudan wakaf itu telah dimanfaatkan
sepenuhnya oleh penduduk kampung dan memandangkan tempat itu masih belum
mempunyai nama, maka ia kemudiannya dikenali sebagai Kampung Wakaf Aik dan
terus kekal sehingga sekarang.
Wakaf itu dibina menggunakan jenis kayu keras
dan beratapkan bata. Sehingga sekarang, wakaf itu masih dalam keadaan baik
dalam bentuk asal, kecuali bahagian atapnya telah ditukar kepada
asbestos. Ia masih digunakan untuk orang ramai bertemu dan berehat.
Kampung Wakaf Aik terus menikmati pembangunan seperti
mana kampung-kampung lain dengan pelbagai kemudahan disediakan pihak kerajaan
dan swasta.
Kampung tersebut kini menjadi tumpuan mereka yang ingin membina rumah
baharu kerana kawasan tanah kosong masih banyak dan disokong oleh kemudahan
yang sedia ada.
No comments:
Post a Comment