IPOH
14 Jan. - Pandangan bekas kumpulan penjawat awam kanan G25 bahawa keputusan
seorang Islam keluar agamanya merupakan dosa antara individu itu dengan Tuhan
sebagai pandangan yang sesat dan menyesatkan.
Mufti
Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pandangan itu disebabkan terpengaruh dengan slogan kebebasan yang
dicanangkan oleh golongan liberal di dunia barat.
Menurutnya,
setelah beliau meneliti kertas kajian G25, 'Administration of Matters
Pertaining to Islam', didapati kandungannya sangat tidak munasabah dan dangkal.
"Sangat
menyedihkan kumpulan ini menganggap murtad iaitu keluar dari Islam merupakan
kesalahan atau dosa antara individu dengan Tuhan sahaja dan kerajaan hendaklah
memberikan kebebasan kepada umat Islam untuk murtad.
"Saya
menegaskan bahawa pandangan golongan liberalis seperti G25 adalah bercanggah
dengan pendapat jumhur ulama dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam
kenyataan dalam laman Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak hari ini.
Menurut
Harussani, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq walaupun terkenal dengan kelembutan
beliau tetapi tetap tegas dalam menangani golongan murtad.
"Ini
jelas menunjukkan jenayah murtad adalah satu perkara yang serius dan kerajaan
bertanggungjawab mengawal gejala ini," katanya.
Menurut
Harussani, antara fakta sejarah yang disalahfahami oleh kumpulan G25 ialah
berkenaan undang-undang Islam antara negeri-negeri yang dilihat tidak seragam
kerana setiap negeri mempunyai adat resam dan budaya yang berbeza-beza.
Beliau
berkata, kedatangan Islam meraikan adat dan budaya masing-masing selagi tidak
bercanggah dengan syarak.
"Sekiranya
didapati bercanggah, maka Islam membetulkan mengikut prinsip syarak dan memberi
alternatif yang lebih harmoni dan rahmah, inilah keistimewaan yang ada pada
Islam yang begitu meraikan," katanya.
G25
baru-baru ini mengkritik undang-undang murtad, mengatakan keputusan seorang
Islam untuk keluarga agamanya antara individu itu dengan Tuhan.
Memetik
kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan itu berkata,
undang-undang negeri menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau
pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin
kebebasan beragama.
No comments:
Post a Comment