Tuesday, 29 November 2016

BERSATU FIKIRAN MEMBINA KEKUATAN

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa bangsa dan bersuku puak, supaya Kamu berkenal kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al Hujurat, ayat 13).

Justeru itu marilah kita kukuhkan iman dan akidah dan saling beramal ibadah ikut apa yang terkandung di dalam al Quran dan al sunnah, beramal maaruf nahi mungkar dalam memperkukuhkan jejak kita untuk menuju ke arah jalan yang benar dan kemenangan.

Tumpukanlah dalam setiap perkenalan untuk memantapkan sifat berkerjasama yang erat, pertalian yang teguh dan bantu membantu untuk kebaikan dengan ikhlas dan jujur.

Dengan itu kita mampu menterjemahkan akhlak Islam bagi melahirkan masyarakat yang tenteram adil dan tidak dikuasai tamak dan haloba dan pergeseran yang merosakan ketenteraman dan kehancuran masyarakat.

Kesatuan kepercayaan yang kukuh atas dasar akiqah yang benar perlu dibentuk. Sesungguhnya  kesatuan kepercayaan cara hidup dan kesatuan nilai akhlak yang murni perlu terterap rapi dalam hati dan sanubari umat dan jamaah kita di negara ini.

Hal ini amat penting memandangkan zaman sekarang yang dipenuhi dengan pelbagai persepsi dan tanggapan buruk. Kita perlu hindarkan keadaan itu demi keselesaan hidup dan pemikiran kita terus tegak di jalan yang lurus demi memperkukuhkan jajaran sebuah negara Islam.
Sesungguhnya setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab mengenai yang dipimpinnya.

Maka hendaklah kita melaksanakan setiap tanggungjawab dalam kepimpinan dengan penuh rasa takwa semata-mata kerana Allah.

Sikap memandang mudah terhadap ancaman yang menggugat keamanan dan keselamatan akidah akan memberi ruang luas kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan kita. Bersatulah demi keselamatan dan kesejahteraan Islam.

No comments:

Post a Comment