Monday, 28 March 2022

MELANCONG SUPAYA HATI DAPAT BERFIKIR

  
Melancong bermaksud melawat dan melihat tempat lain. Melancong tidak semestikan melawat tempat di luar negara saja. Melawat atau ziarah sanak saudara di dalam negara juga termasuk dalam erti melancong. 
 
Sebenarnya aktiviti melancong bukan perkara baru yang dicipta dan diamalkan oleh masyarakat Barat seperti yang dianggap sesetengah pihak memandangkan ia menjadi satu budaya mereka. 
 
Islam sebenarnya telah lama memperkatakan tentang aktiviti melancong dan menggalakkan agar umat Islam melakukan aktiviti itu untuk mendapat banyak kebaikan daripadanya. 
 
Dalam al-Quran terdapat kalimah seperti sihu, yasiru, siru dan al-rihlah yang mempunyai maksud berkaitan dengan mengembara dan melancong. 
 
Islam menggalakkan melancong bukan sekadar mengunjungi sesuatu tempat dan bergembira, sebaliknya apa yang lebih penting ialah meneroka dan memperoleh kebaikan setiap perkara yang dilakukan. 
 
Setiap destinasi pelancongan mempunyai tarikan tersendiri yang menuntut agar kita berfikir tentang kekuasaan Allah menjadikan muka bumi ini dengan pelbagai perbezaan dan mempunyai kelebihan masing-masing untuk dimanfaatkan oleh manusia. 
 
Ini amat bertepatan dengan ajaran Islam yang amat mementingkan elemen mendengar, melihat dan berfikir dalam mencari kebenaran. 
 
Firman Allah bermaksud: “Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga yang dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46) 
 
Justeru, walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah sampai tidak memikirkan apa-apa. Dalam bersantai, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong. 
 
Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa agar Allah memberi hidayah dan kebaikan daripada aktiviti melancong itu. Mereka mengumpul pengalaman dan pengamatan sepanjang mengembara untuk dijadikan sesuatu yang berharga apabila pulang ke tempat asal.

No comments:

Post a Comment