Wednesday 1 June 2022

BENDERA LAMBANG KEKUATAN NEGARA

  
Setiap negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera. Bendera menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali sesebuah negara berdasarkan benderanya. 
 
Bendera dikaitkan dengan semangat dan kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam peperangan pada zaman dahulu.   
 
Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan berada di bahagian depan pertempuran.  
 
Jika sekiranya pembawa bendera maut atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil oleh tentera lain.  
 
Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah kalah. Sebab itu, usaha menyelamatkan bendera daripada dirampas oleh musuh adalah sesuatu yang wajib dilakukan dalam pertempuran. 
 
Antara kisah yang sangat masyhur pemegang panji ialah kisah saudara kandung kepada Ali bin Abi Talib, iaitu Jaafar bin Abi Talib yang juga digelar sebagai At-Thoyar (yang memiliki dua pasang sayap). 
 
Kisahnya yang cukup terkenal berlaku di dalam Perang Mutah melawan tentera Rom yang beratus kali ganda jumlahnya berbanding tentera Islam. Di dalam perang inilah, tiga orang sahabat besar telah menemui syahid iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rowahah. 
 
Pada peperangan tersebut Jaafar mempertahankan panji Islam dengan bersungguh-sungguh. Beliau memastikan agar panji tersebut tidak terjatuh ke atas tanah dan dihenyak oleh pihak musuh. 
 
Namun, serangan musuh datang bertalu-talu sehingga akhirnya kedua-dua belah tangan milik Jaafar telah terputus akibat dilibas dengan pedang orang Rom. Bendera itu cuba dikepit di bawah ketiaknya, sebelum dia jatuh dan bendera itu diambil oleh tentera lain. Begitulah, besar sekali peranan panji itu di dalam peperangan.

No comments:

Post a Comment