Monday, 3 March 2025

JAMBATAN KERETA API BESI PINANG TUNGGAL

Jambatan Kereta Api Pinang Tunggal mula dibina pada 1912 dan siap dua tahun kemudian. Jambatan sepanjang 204.52 meter merentasi Sungai Muda itu mula digunakan pada 19 Okt 1914. Sebagai tanda perasmian, sebuah tren khas melintasi jambatan tersebut yang membawa dua pegawai Inggeris iaitu JR Lynch dan AC Ferdinands pada pukul 6.30 pagi.

Landasan yang dibina oleh Federated Malay States Railways ini mula beroperasi selepas pembukaan laluan kereta api dari Bukit Mertajam ke Pinang Tunggal siap sepenuhnya.

Jambatan kereta api ini menghubungkan Pinang Tunggal di Kedah dengan Kepala Batas di Pulau Pinang yang dipisahkan oleh Sungai Muda. Pada masa dahulu, jambatan ini bukan sahaja digunakan untuk laluan kereta api, tetapi juga untuk pejalan kaki dan kenderaan ringan seperti basikal dan motosikal. Sebelum pembinaan landasan ini, penduduk setempat hanya menggunakan sampan untuk menyeberang sungai.

Jambatan kereta api ini tidak lagi digunakan setelah jambatan konkrit Projek Landasan Berkembar Elektrik beroperasi pada tahun 2008.

Bagaimanapun, jambatan kereta api besi lama itu terus dikekalkan. Landasan yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah negara ini dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang selain menjadi mercu tanda yang bersejarah.

No comments:

Post a Comment