Sunday, 26 June 2022

CARA PEMIMPIN DISUKAI RAKYAT

  
Banyak cara pemimpin akan disukai rakyat. Antara cara boleh dilakukan ialah bersama atau turut serta dalam aktiviti melibatkan rakyat. Tidak kisahlah dalam aktiviti apa. 
 
Ahli akan berasa dihargai jika pemimpin dapat bersama mereka. Bersama dalam apa jua keadaan dan situasi. Biar pemimpin pun dapat merasai apa yang dirasai oleh rakyat. 
 
Pemimpin tidak dipandang rendah jika bersama-sama rakyat. Seperti kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. 
 
Pemimpin yang dapat bersama-sama dengan rakyat akan dipandang mulia dan terhindar dituduh atau digelar pemimpin sombong atau angkuh. 
 
Cuba kita lihat mana-mana pemimpin yang disebut-sebut disukai rakyat. Aspek paling dinilai ialah keberadaan mereka bersama-sama rakyat. Boleh bersama-sama melakukan aktiviti biarpun nampak seperti kebudakan atau tidak patut. 
 
Pemimpin yang sentiasa bersama rakyat tidak perlu berhabis wang, tetapi bawakan keikhlasan untuk bersama-sama rakyat. Pemimpin yang iklas bersama rakyat, akan dibalas dengan keikhlasan rakyat untuk bersama-samanya. 
 
Pemimpin tidak sepatutnya hanya berada di atas pentas, tetapi jarang-jarang perlu juga berada di bawah pentas. Pemimpin tidak hanya memberikan kursus atau berceramah, tetapi sekali sekali kena menjadi peserta kursus atau pendengar. 
 
Kalau pemimpin tidak mahu menyertai kursus atau mendengar apa orang lain kata, lama-lama rakyat pula tidak akan mendengar apa yang pemimpin katakan. 
 
Tidak hina pemimpin turut berkursus bersama-sama dengan rakyat. Biar sama-sama memahami apa yang disampaikan oleh penceramah atau fasilitator. Apabila sudah sama-sama faham, maka mudah untuk melaksanakan sesuatu.

No comments:

Post a Comment