Kedai makan atau restoran dianggap sebagai tempat mendamaikan. Jadi, mereka akan singgah dan makan di kedai walau dalam keadaan apa sekalipun.
Ada kedai makan yang hanya menjual nasi bungkus dan kuih muih selain daripada pelbagai jenis air. Kalau hendak dikira, kalau sudah nasi bungkus, baik beli dan makan di rumah sahaja.
Namun bukan begitu pandangan peminat makan di kedai. Bahkan ada yang membeli di tempat lain, tetapi akan makan di kedai pilihan, bukan kerana makanan yang dijual di situ, tetapi kerana ada sesuatu alasan tertentu. Mereka hanya akan pesan minuman sahaja di kedai makan itu.
Kedai makan bukan semata-mata tempat untuk makan atau minum. Bahkan kedai makan sering dijadikan tempat pertemuan rakan-rakan. Menjadi tempat untuk menerangkan mengenai peluang perniagaan terutama kepada mereka menceburi bidang perniagaan berbilang peringkat (MLM).
Sebab itu, ada orang yang menganggap apabila kerajaan mengumumkan boleh makan dan minum di kedai makan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada yang menyamakan berita itu seperti pengumuman hari raya. Betapa gembira rasanya.
Kerana budaya makan di kedai sudah sebati dalam masyarakat, antara perniagaan yang paling banyak berjaya ialah kedai makan. Biarpun perniagaan kedai makan agak rumit dari segi penyediaan bahan masakan sehinggalah kepada proses memasak dan melayan kehendak pelanggan, ia masih berjaya menarik minat peniaga untuk menjalankan perniagaan tersebut.
Dalam keadaan apa sekalipun, kedai makan tetap beroperasi. Pelanggan tetap mahu makan di kedai.
No comments:
Post a Comment