Tular mengenai Bukit Panau di media sosial menjadikan
bukit yang berada di kawasan sempadan jajahan Pasir Mas dengan Tanah Merah semakin
dikenali sebagai lokasi kembara berjalan kaki (hiking).
Dengan ketinggian 255 meter dari aras laut,
mendakit Bukit Panau tidak terlalu sukar. Lebih-lebih lagi pendakian dilakukan
melalui jalan bertar yang disediakan sehingga ke puncak.
Sekarang ini sudah terdapat laluan hiking mengikut
denai bagi mereka yang ingin cabaran dan menikmati suasana alam semulajadi yang
lebih tenang dan damai.
Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil
masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal
pendaki.
Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat
menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah,
serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang.
Paling menarik ialah pemandangan Sungai
Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas -
Tanah Merah.
Mereka yang ingin mendaki Bukit Panau
dinasihatkan bermula awal pagi kerana untuk mengelak panas matahari. Di puncak
Bukit Panau dianggap bukit botak.
Sedikit sahaja kawasan yang ada lindungan
teduh pokok. Sebab itu, berada di puncak Bukit Panau membolehkan pengunjung
melihat sekeliling dengan mudah tanpa terlindung penglihatan.
Jika bernasib baik, anda akan berpeluang
menikmati pemandangan karpet awan di atas puncak Bukit Panau. Sungguh menarik
pemandangannya dengan disinari cahaya matahari yang sedang naik dari ufuk
timur.
Kedudukan Bukit Panau berhampiran jalan utama
memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan
itu.
No comments:
Post a Comment