Sunday, 6 July 2025

MENGAPA AMBO TIDAK MENJADI AHLI PAS

 
Mengapa ambo tidak menjadi ahli Pas? Pertamanya, kerana ambo ahli UMNO. Perlembagaan UMNO tidak membenarkan ahlinya mempunyai keahlian dengan mana-mana parti siasah lain. Jika, mendaftar dengan parti lain, maka dengan automatik keahlian dalam UMNO akan terbatal. Ambo sayang kepada UMNO dan akan terus menjadi ahlinya.
 
Sebab kedua ialah ambo tidak percaya dengan perjuangan Pas untuk menegakkan Islam. Banyak perkara ditegah oleh Islam dilakukan dengan terang-terang oleh pemimpin dan ahli Pas, termasuklah dalam mengkafirkan ahli UMNO.
 
Perkara ini bukan main-main. Ia menjadi pengalaman kepada ayah dan ambo sendiri apabila dikafirkan oleh ahli-ahli Pas di kampung ambo iaitu Kampung Padang Bongor, Jalan Pengkalan Chepa, hanya kerana ayah ambo ahli UMNO.
 
Ayah ambo Imam Tua Masjid Mukim Padang Bongor bermula sekitar tahun 1965 sehinggalah tahun 1990. Dialah antara yang bertanggungjawab memulakan proses membina Masjid Mukim Padang Bongor yang ada sekarang ini, bersama-sama dengan ahli jawatankuasa lain dan penduduk kampung.
 
Semangat untuk membina masjid baharu memang tinggi. Mula dibina sekitar tahun 1975. Memandangkan wang tidak cukup, penduduk bergotong-royong hampir setiap minggu untuk menyiapkan tapak. Penduduk mewakafkan harta dan tenaga untuk membinanya.
 
Untuk menampung sedikit perbelanjaan, maka dipohon peruntukan dengan kerajaan Pusat.  Masa itu, Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah yang menjadi menteri kewangan telah meluluskan sedikit peruntukan, rasanya RM20 ribu. Kira sudah besar pada waktu itu. Anggaran kos keseluruahan pembinaan pada masa itu sekitar RM100 ribu.
 
Apabila kemuncak isu kafir mengafir berlaku, timbul dakwaan bahawa masjid tersebut dibina menggunakan wang haram. Kononnya duit dari UMNO yang dikira haram.
 
Ketika itu jugalah ayah ambo dituduh sebagai kafir. Tok bilal meletak jawatan tanpa notis. Seterusnya wujud surau khas untuk tempat sembahyang orang Pas kerana tidak mahu berimamkan ayah ambo yang dituduh sebagai kafir.
 
Ketika itu suasana orang pergi bersembahayan berjemaah memang nampak meriah. Satu di Masjid Mukim Padang Bongor dan satu lagi di surah atau pusat operasi Pas. Diperhatikan, jumlah yang hadir di surau Pas lagi banyak. Individu yang sebelum itu tidak nampak berjemaah, akan hadir berjemaah.
 
Disebabkan ayah ambo dituduh kafir, ada pasangan yang baharu kahwin yang jurunikahnya ayah ambo, melakukan akad nikah sekali lagi. Mereka hanya "berlakon" akan nikah dengan ayah ambo kerana hendak mendaftarkan pernikahan. Selepas itu, untuk dianggap sah, dinikahkan semula oleh bapa pengantin perempuan. Begitu dahsyat sekali perpecahan disebabkan ketaasuban kepartian.
 
Kerana itu jugalah, ada gerakan atau usaha untuk memecat ayah ambo sebagai imam tua. Menjadi dasar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), jika ahli kariah ingin menggantikan imam tua, maka perlu ada penggantinya.
 
Lalu, beberapa nama dicadangkan dan dipanggil temu duga oleh MAIK. Namun, calon itu tidak layak. Maka, kekallah ayah ambo sebagai imam tua.
 
Ditakdirkan ayah ambo diserang angin ahmar dan tidak mampu melaksanakan tugas. Tugas imam dan baca khutbah terpaksa dilakukan oleh adik-adik ambo. Sedangkan pengganti yang dilantik secara rasmi oleh MAIK tiada.
 
Perkara ini berlarutan beberapa tahun. Orang beriya-iya hendak memecat ayah ambo tidak mampu mencari pengganti. Sepatutnya, ketika itulah mereka bersungguh-sungguh mencari pengganti.
 
Disebabkan ayah ambo tidak lagi menjadi imam tua, maka mereka tidak perlu bersusah payah untuk menjatuhkan ayah ambo. Tentang penggantinya tidak perlu difikirkan lagi. Orang Padang Bongor sebenarnya tidak berminat hendak menjadi imam tua pada ketika itu, sehingga terpaksa mencari calon dari luar kawasan mukim.
 
Setakat ini dahulu. Cerita lain kali pula. Masih banyak lagi.

Baca juga: