Saturday 23 January 2021

KES BUANG BAYI MENINGKAT

Kes buang bayi bukan kes terpencil apabila angka dicatatkan menggambarkan masalah semakin membimbangkan. Fenomina buang bayi menggambarkan wujud kepincangan isu keruntuhan moral, nilai dan sosial di kalangan masyarakat yang perlu ditangani lebih berkesan.

Data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia menunjukkan setiap tiga hari, akan ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai mati atau hidup.

Berdasarkan statistik oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak PDRM, terdapat sebanyak 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Gejala pembuangan bayi tidak lagi dianggap jenayah bermusim kerana setiap saat sebenarnya, di seluruh dunia ada saja kes itu dilaporkan.

Pembuangan bayi berlaku apabila bayi dilahirkan hasil hubungan terlarang atau zina. Anak yang dilahirkan akan mendedahkan kepada masyarakat tentang perbuatan sumbang yang dilakukan.  

Jika keadaan itu berlaku, ia mendatangkan aib kepada ibu yang melahirkan anak itu, pasangannya serta keluarga.  

Justeru, langkah terakhir untuk menutup perbuatan sumbang itu ialah menghapuskan 'bukti' dengan membuang bayi yang baru dilahirkan sama ada masih hidup atau telah mati.                                                                       

Untuk mencegah kes ini, foktor yang menyumbang kepada perbuatan zina perlu dihalang. Antara amalan yang perlu dikawal atau dihalang ialah pergaulan bebas lelaki perempuan, pengaruh pronografi, pendedahan salah berkaitan seks dan media massa.

Pergaulan bebas lelaki dan perempuan banyak menyumbang perbuatan zina. Sikap mengambil mudah soal batasan pergaulan menyebabkan hilang perasaan malu dan etika menjaga maruah diri.  

Perlu diingat, apabila malu telah hilang pada diri seseorang, maka mudahlah berlaku perkara yang dilarang agama. Ketika itu mereka tidak fikir lagi soal buruk akan ditanggung. 

Sudah menjadi adat, apabila berlaku pergaulan bebas, satu pihak lain iaitu syaitan akan mempengaruhi melakukan perbuatan lebih buruk iaitu zina. Rasa ghairah timbul apabila lelaki dan perempuan bersentuhan.   

Dunia pronografi kini tersebar luas melalui pelbagai cara. Medium paling meluas ialah melalui internet. Filem dan gambar pronografi tersebar meluas dalam internet mudah dicapai atau dilayari oleh sesiapa saja, termasuk  pelajar sekolah rendah.  

Akibat melihat pronografi mendorong mereka untuk meniru aksi itu. Mereka menganggap itu satu perkara biasa yang perlu dilakukan setiap orang. Mereka akan mencari pasangan untuk melakukan perbuatan seperti ditonton.

Seks adalah satu perbuatan murni atau baik jika dilakukan oleh pasangan suami isteri. Dalam Islam amalan itu dituntut untuk memenuhi naluri atau sifat semulajadi manusia. Seks juga untuk melahirkan zuriat yang sah nasabnya.

Malang sekali, golongan muda menjadikan seks pemuas hawa nafsu semata-mata. Mereka ingin meniru seperti apa dilakukan pasangan suami isteri. Sekarang ini tidak asing jika ada pasangan kekasih tinggal serumah seperti suami isteri biarpun belum dikahwinkan secara sah.

Isu pembuangan bayi pada zaman moden ini dikatakan sukar diselesaikan sepenuhnya memandangkan ia adalah masalah sosial yang berkait rapat dengan pelbagai faktor berkait.

Antaranya, pertambahan jumlah penduduk, penghijrahan belia dari desa ke bandar besar, longgarnya ikatan kekeluargaan dan pegangan agama dan bermacam-macam lagi.

Walaupun ia sesuatu yang menyayat hati dan dianggap tidak berperikemanusiaan, tetapi itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Ia melambangkan si pelaku seolah-olah tidak ada akal dan perasaan apatah lagi sifat kasih sayang.

Apa yang berlaku menggambarkan seolah-olah zaman jahiliah sebelum kemunculan Islam kira-kira 1,500 tahun lalu telah berulang kembali.

Kerendahan jiwa manusia pada zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan bimbang akan jatuh miskin.

Pada zaman itu jugalah Islam datang menyelamatkan masyarakat Arab daripada penyakit sosial itu sekali gus mengangkat martabat manusia secara keseluruhan.

Iman dan ilmu adalah senjata paling ampuh dalam menghadapi kemelut sosial, tanpa mengecilkan peranan masyarakat dalam mencegah kemungkaran yang berlaku di depan mata.

Istilah jaga tepi kain orang yang memberi konotasi negatif nampaknya tidak terpakai dalam hal ini.

Masyarakat harus lebih peka dengan masalah sosial golongan remaja dan bersikap lebih proaktif serta tidak takut menegur dan mencegah gejala buruk ini.

No comments:

Post a Comment