Wednesday 25 December 2019

MASJID SULTAN MANSOR, KAMPUNG SIREH

Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh. Masjid ini siap dibina pada 1 Februari 1985 dan dirasmikan pada 5 April 1985 oleh KDYMM Sultan Ismail Petra.

Nama asal Masjid Sultan Mansor adalah Masjid Kampung Sireh, bersempena dengan nama kampung tempat masjid ini dibina, iaitu Kampung Sireh.

Namun, pada bulan Oktober 2013 nama masjid ini ditukar kepada Masjid Sultan Mansor mengambil sempena nama salah seorang daripada raja-raja pemerintah Kelantan terdahulu. Mengikut catatan sejarah, Sultan Mansor memerintah Kelantan pada sekitar 1467 hingga 1521.

Masjid Sultan Mansor terletak di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan. Lokasi Masjid ini sangat strategik kerana kedudukannya dalam bandar Kota Bharu dan berdekatan dengan jalan-jalan utama, di samping berada di tengah-tengah laluan perjalanan kenderaan awam.

Keluasan masjid ini lebih kurang 1 ekar. Ruang solat masjid dapat menampung sehingga 1500 jemaah dalam satu masa.

Salah satu kemudahan disediakan pihak pengurusan Masjid Sultan Mandor ialah bilik tamu untuk disewa. Bilik yang hanya dikhaskan kepada lelaki sahaja menyediakan kelengkapan yang selesa untuk kegunaan pengunjung, terutama mereka yang ingin berurusan di Kota Bharu.


Thursday 19 December 2019

KERETA API PENGANGKUTAN AWAL GUA MUSANG


Gua Musang bandar paling selatan di Kelantan. Biarpun jauh di pedalaman, Gua Musang dikatakan antara lokasi terawal penempatan di Kelantan. Pengangkutan terawal ke Gua Musang ialah melalui sungai.

Perkhidmatan kereta api yang disediakan oleh pihak Inggeris turut menjadikan Gua Musang sebagai perhentian laluan Tumpat - Gemas. Perkhidmatan kereta api melalui Gua Musang bermula seawal tahun 1931.

Perkhidmatan kereta api menjadikan Gua Musang yang terletak kira-kira 180 kilometer dari Kota Bharu lebih senang dikunjungi mahupun membawa keluar penumpang ke destinasi lain.

Ketika Rancangan Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mula beroperasi di Gua Musang sebagai ibu pejabat pada tahun 1979, penggunaan kereta api semakin penting membawa staf KESEDAR yang majoriti berasal luar dari Gua Musang.

Kemudahan jalan raya yang menghubungkan Kuala Krai - Gua Musang boleh digunakan sepenuhnya hanya pada tahun 1983. Sebelum itu jalan raya sejauh 120 kilometer itu dibuka secara berperingkat-peringkat sejak tahun 1980.

Gua Musang sekarang ini pesat membangun dan tidak lagi sukar untuk sampai ke situ. Selain perkhidmatan kereta api yang sudah 90 tahun memberi manfaat kepada penduduk Gua Musang, kini rangkaian jalan raya semakin baik dan menghubungkan ke beberapa destinasi.

Kalau dahulu hanya ada jalan raya Kuala Krai Gua Musang dan terus ke Kuala Lipis, Pahang, kini ada jalan raya Gua Musang ke Lojing terus ke Cameron Highlands untuk terus ke bandar lain di pantai barat seperti Ipoh dan kawasan utara tanah air. Laluan itu juga boleh digunakan untuk menuju ke Lembah Kelang.

Jalan raya lain menghubungkan Gua Musang ialah ke Dabong dan seterusnya ke Jeli. Satu lagi ialah jalan raya dari Gua Musang - Aring - Kuala Berang untuk kemudahan pergi dan balik dari Kuala Terengganu serta Kuantan.

Sunday 15 December 2019

TARIKAN TAMAN TASIK TITIWANGSA

Pembukaan semula Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara pada 15 Disember 2019 sememangnya dinanti sehingga ramai tidak kisah berkunjung dari awal pagi dan bersesak kerana berbaloi untuk merasai sendiri pengalaman landskap baharu.

Keterujaan setiap pengunjung dapat dirasai dengan melihat kepada kawasan taman berkenaan yang sesak dengan kenderaan, dan boleh dikatakan ribuan manusia dari pelbagai lapisan umur memenuhi ruangan taman berwajah baharu itu.

Taman Tasik Titiwangsa baharu mempunyai banyak perubahan dari segi landskap dan kemudahan yang menarik minat pengunjung.

Taman Tasik Titiwangsa yang dibuka semula selepas ditutup sejak 1 September 2018 untuk pengubahsuaian, memperkenalkan pelbagai tarikan baharu lagi menarik seperti Taman Tema Air dan Kanopi Banjaran Titiwangsa.

Pembaharuan taman berkenaan turut memperkenalkan trek berbasikal sepanjang 2.5 kilometer, memudahkan penunggang basikal dan lebih selamat kerana dibina secara berasingan dengan trek pejalan kaki.

Naik taraf Taman Tasik Titiwangsa juga sebahagian pelaksanaan projek Sungai Nadi Kehidupan.

Berasal dari kolam bekas lombong yang terdalam selepas Tasik Mines, di Seri Kembangan, Taman Tasik Titiwangsa dibuka secara rasmi buat pertama kali pada 1 Februari 1980 oleh Allahyarham Tun Hussein Onn.

Wajah baharu berkonsepkan ‘ínclusivity’ iaitu boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang terbatas dari segi fizikal seperti orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, antara tumpuan utama di taman berkenaan adalah ‘High Fountain Jet’ di tasik itu dengan keupayaan pancutan air setinggi 100 meter.

High Fountain Jet boleh dikatakan bertaraf antarabangsa kerana pancutan air mampu naik setinggi 100 meter.

Tugasnya bersama fountain jet kecil yang lain adalah sebagai sistem pengudaraan air tasik kerana di sini, cepat sangat alga (sejenis tumbuhan) tumbuh.

Sunday 8 December 2019

SERONOK DAPAT HIKING BUKIT PANAU

Tular mengenai Bukit Panau di media sosial menjadikan bukit yang berada di kawasan sempadan jajahan Pasir Mas dengan Tanah Merah semakin dikenali sebagai lokasi kembara berjalan kaki (hiking). 

Dengan ketinggian 255 meter dari aras laut, mendakit Bukit Panau tidak terlalu sukar. Lebih-lebih lagi pendakian dilakukan melalui jalan bertar yang disediakan sehingga ke puncak.

Sekarang ini sudah terdapat laluan hiking mengikut denai bagi mereka yang ingin cabaran dan menikmati suasana alam semulajadi yang lebih tenang dan damai.

Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal pendaki.

Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah, serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang.

Paling menarik ialah pemandangan Sungai Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas - Tanah Merah.

Mereka yang ingin mendaki Bukit Panau dinasihatkan bermula awal pagi kerana untuk mengelak panas matahari. Di puncak Bukit Panau dianggap bukit botak.

Sedikit sahaja kawasan yang ada lindungan teduh pokok. Sebab itu, berada di puncak Bukit Panau membolehkan pengunjung melihat sekeliling dengan mudah tanpa terlindung penglihatan.

Jika bernasib baik, anda akan berpeluang menikmati pemandangan karpet awan di atas puncak Bukit Panau. Sungguh menarik pemandangannya dengan disinari cahaya matahari yang sedang naik dari ufuk timur.

Kedudukan Bukit Panau berhampiran jalan utama memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu.

Friday 29 November 2019

CALON AHLI PARLIMEN PERLU JALANI UJIAN KESIHATAN

Keletihan dalam kalangan Ahli Parlimen yang terpaksa keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari, antara punca jumlah kehadiran wakil kerajaan tidak memberangsangkan di Dewan Rakyat.

Selain itu, faktor keletihan juga disebabkan ramai Ahli Parlimen telah lanjut usia. Lebih memburukkan keadaan ialah ramai Ahli Parlimen mengidap pelbagai penyakit berbahaya.

Sebab itu bukan perkara mengejutkan jika ada Ahli Parlimen pengsan atau terjatuh ketika berada di parlimen.

Memang lojiklah, jika ada Ahli Parlimen tidak boleh duduk lama dalam dewan Parlimen disebabkan tidak tahan sejuk.

Jika sudah begitu keadaannya, langkah tertentu perlu diambil untuk mengatasi masalah tersebut agar ia tidak menyusahkan Ahli Parlimen dan tidak dapat berkhidmat kepada rakyat sebaiknya.

Antara cadangannya ialah agar dihadkan umur maksima untuk jadi Ahli Parlimen. Namun persoalannya, Ahli Parlimen muda pun tidak hadir juga. Pelik!

Selain, itu untuk menjadi calon dalam pilihan raya sama ada umum mahupun kecil perlu menjalani pemeriksaan kesihatan. Ini bagi memastikan mereka betul-betul sihat untuk melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen yang amat berat itu.

Thursday 21 November 2019

BUKAN KERETA TERBANG TETAPI SUPER DRON

Bukan kereta terbang tetapi super dron. Itulah jenis 'kereta terbang' yang diwar-warkan sebelum ini yang bakal dihasilkan di negara kita. Super dron itu pun bukan hasil ciptaan rakyat atau syarikat Malaysia. Sebaliknya, syarikat Malaysia hanya sebagai pengedar sah di Malaysia.

Jadi, apa yang hebat sangat sehingga menjadi 'kemegahan' seorang menteri dengan pencapaian kononnya Malaysia berjaya mencipta kereta terbang sendiri.

Malah, disebut juga bagaimana rakyat akan menikmati kemudahan menggunakan kereta terbang itu yang lebih cepat tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Lebih menarik lagi, super dron itu bukan untuk penggunaan komersil sebaliknya ia digunakan untuk kegunaan tertentu seperti kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan.

Melepas cita-cita dan impian rakyat untuk berbangga dengan kereta terbang dan menggunakan hasil kejayaan pemerintahan kerajaan sekarang.

Ketika ini super dron berkenaan adalah versi import sepenuhnya (CBU) daripada pengeluar, eHang dan jika kemudahan yang dirancang dibangunkan di Malaysia siap sepenuhnya pada tahun hadapan, ia akan menjadi dron versi pemasangan tempatan (CKD).

Thursday 14 November 2019

MENGAPA TAYAR MEREKAH PERLU DITUKAR SEGERA

Banyak tayar nampak sempurna dari jauh, tetapi apabila datang dekat, mulalah nampak tanda-tanda yang perlu diambil perhatian, termasuk menukar tayar baharu.

Antara keadaan tayar yang perlu diberi perhatian ialah tayar merekah. Masalah rekahan superfisial atau kecil di dinding atau bunga tayar, tidak boleh diambil mudah.

Kalau dibiarkan lama, tanda-tanda rekah atau reput itu akan semakin banyak dan menjalar, sekali gus mengurangkan jangka hayat tayar dan prestasi atas jalan.

Seperti manusia, getah akan mengeras dan kering seiring usia. Tayar baharu memiliki minyak dan bahan kimia untuk memperlahankan proses 'penuaan' tersebut.

Tetapi saban masa, tayar tetap cenderung tersejat, bocor dan pecah. Perkara lain seperti pendedahan kepada pancaran ultra-ungu (UV), kekerapan penggunaan dan kitaran panas melampau berisiko mempercepatkan keuzuran tayar.

Rekahan kosmetik atau minor masih dibenarkan, tetapi dari segi keselamatan, rekahan itu ialah petanda awal bahawa tayar anda perlu diganti. Apatah lagi jika rekahan nampak begitu ketara.

Penukaran tayar baru amat perlu terutama jika ingin melakukan perjalanan jauh. Ambil langkah berjaga-jaga sebelum berlaku perkara tidak dingini, lebih-lebih lagi berkaitan keselamatan nyawa.

Tuesday 5 November 2019

CARA MEMBUAT BUDU

Budu atau sos bilis amat terkenal di Kelantan. Menariknya, budu bukan sahaja dijual di Kelantan, tetapi juga hampir semua tempat di Malaysia, sesuai dengan keberadaan orang berasal Kelantan yang tinggal di sesuatu tempat.

Pada masa dahulu, proses membuat budu dihasilkan sendiri oleh penduduk kampung. Tempayang budu atau guri budu diletakkan di luar rumah sepanjang proses peram budu. Budu akan diambil sedikit-sedikit apabila ingin digunakan.

Namun, sekarang ini tradisi membuat budu sendiri hampir dilupakan. Sebaliknya, industri membuat budu secara 'perusahaan' berkembang untuk membekalkan budu kepada pembeli.

Biarpun proses membuat budu dianggap 'mudah', namun tidak boleh dipandang ringan. Untuk mengekalkan mutu rasanya proses membuatnya perlu berhati-hati.

Peminat budu jenama tertentu sudah dapat menjangkakan rasa budu berkenaan dan tentunya akan berasa kecewa jika rasanya tidak sama seperti sebelumnya.

Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan.

Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya.

Bahan untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis.

Untuk menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam. Ia kemudian dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun.

Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu.

Memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu digunakan bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi.

Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.

Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Budu asli warnanya agak kehitaman.

Sunday 3 November 2019

KERAP MENGGARU SEMAKIN GATAL


Menggaru bagai nak gila akibat kegatalan kulit melampau adalah rutin yang perlu ditempuh sebahagian besar penghidap dermatitis atopik (AD) terutama mereka yang berada dalam kategori teruk.

AD adalah jenis ekzema paling kerap dihidapi. Penyakit radang kronik ini dikenal pasti menerusi simptom ruam merah gatal pada kulit yang terjadi secara berulang-ulang. Antara puncanya ialah radang terpendam di dalam badan yang dipercayai disebabkan sistem imun terlalu aktif.

AD juga penyakit sistemik yang kompleks dan mendatangkan kesan fizikal serta psikologi yang ketara.

Ciri utama AD kategori sederhana dan teruk ialah ruam yang tumbuh melata di beberapa bahagian badan serta menerbitkan kegatalan yang teruk serta berpanjangan. Kulit menjadi kering, kemerah-merahan, merekah, berkuping dan berair.

Dalam kalangan penghidap AD, sel imun pada lapisan kulit yang lebih dalam menghantar isyarat keradangan ke permukaan kulit yang menyebabkan ruam gatal.

Apabila mereka menggaru, lapisan luar kulit akan pecah dan ini akan membuka laluan kepada kuman, virus dan alergen masuk ke dalam badan.

Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan itu, sistem imun akan terus menghantar isyarat ke permukaan yang menyebabkan kegatalan dan kemerahan bertambah buruk.

Semakin digaru, semakin banyak lapisan luar kulit yang pecah dan rosak. Akibatnya, kitaran gatal dan garu akan berterusan bagi penghidap AD.

Tuesday 29 October 2019

RIDHUAN TEE PENULIS POLITIK BERWIBAWA

Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah atau lebih dikenali Ridhuan Tee, adalah seorang pemikir dan penulis terkenal. Tulisan beliau sentiasa dinanti untuk mendapat kupasan terhadap sesuatu isu, terutama yang berkaitan politik, agama dan keselamatan.

Tulisan beliau dalam isu-isu berkenaan memang selayaknya dianggap sebagai pakar sesuai dengan kelulusan dan pengalaman yang dilalui. 
 
Beliau pemegang Sarjana Muda (Hons) Sains Politik (UKM), MA Kajian Strategik dan Keselamatan (UKM), PhD Politik dan Kerajaan (UPM) dan Dip. Pengajian Islam (UIA).

Beliau keturunan Cina dan dilahirkan bukan sebagai beragama Islam. Setelah memeluk Islam, beliau dilihat banyak menyampaikan ceramah agama dan menulis bekaitan Islam. Justerus, beliau juga dikenali sebagai Ustaz Ridhuan Tee.

Dalam penulisannya banyak mengkritik tentang penduduk bukan Melayu dan bukan Islam di Malaysia. Tidak hairan beliau menjadi 'musuh' kepada ahli politik bukan Melayu yang berasa teracam dengan pendangan yang diutarakan.

Beliau banyak memihak kepada Melayu untuk menerajui kepimpinan negara bukan kerana sudah 'masuk Melayu', tetapi apa yang dilakukan adalah demi Islam.

Melayu telah diamanahkan sebagai 'penjaga' Islam di Malaysia. Jadi, untuk Islam terbela dan terjaga, maka Melayu mesti kuat dan berkuasa.

Inilah diperjuangkan Ridhuan Tee agar Melayu kekal berkuasa dalam politik Malaysia. Kedudukan Islam di Malaysia sentisa diasak dan diuji oleh pemimpin politik Cina yang mengamalkan sikap ultra kiasu atau terlalu takut kalah.

Fahaman atau selayaknya dipanggil ideologi ultra kiasu ini kuat diamalkan di kalangan ahli politik di Singapura. Ia kini merebak di kalangan pemimpin politik kaum Cina di Malaysia.

Kepakaran Ridhuan Tee dalam politik lebih kepada budaya politik, sosialisasi politik, politik silang budaya (ethnography), ditambah dengan sedikit ilmu pengajian pertahanan dan keselamatan.

Maka, amat tepat beliau mengulas isu politik semasa.

Saturday 26 October 2019

UBI KELING BERBAU HARUM


Ubi keling merujuk kepada sejenis ubi yang kecil dan berkulit hitam. Dinamakan ubi keling kerana kulitnya hitam (harap ia tidak dianggap rasis ataupun menghina).

Nama saintifiknya adalah Plectranthus rotundifolius (Poiret) Sprengel. Ia merupakan jenis ubi yang boleh dimakan selepas direbus.

Isinya berwarna putih jernih dan apabila dimasak akan menjadi putih. Ubi keling mengeluarkan bau yang harum dan enak apabila dimasak atau direbus.

Ubi keling sama famili dengan pokok bunga ati-ati yang banyak ditanam di kawasan rumah.

Ubi keling tumbuh secar liar di kawasan hutan dan kebun terutama di kawasan tanah yang baru dibuka khasnya kawasan tanah gambut.

Tanaman ubi keling adalah sejenis pokok menjalar di atas tanah serta mempunyai akar rambut. Daunnya berwarna hujau muda dan berkerinting serta permukaan daun yang agak berbulu.

Sunday 20 October 2019

JIHAD EKONOMI KEMPEN BELI PRODUK MUSLIM


Kempen Beli Produk Muslim (BMF) bukan suatu kempen politik. Sesiapa beranggapan itu satu kempen politik adalah suatu tindakan yang keji dan terkutuk. Kempen ini sudah lama digerakkan, tetapi hanya kebelakangan ini menampakkan kejayaan dan sambutan luar biasa.

BMF adalah gerakan rakyat dari pelbagai latar belakang untuk mengutamakan produk-produk Muslim tanpa mengira parti dengan syarat beragama Islam dengan harapan agar ekonomi umat Islam diperkukuhkan.

Kenyataan yang mengatakan bahawa Islam hanya mengajar kita mengutamakan produk halal dan bukannya produk Muslim jelas menunjukkan kecetekan dan ketidakjujuran dalam berbicara mengenai Islam.

Memang tidak dinafikan Islam tidak melarang berurusniaga dengan bukan Islam. Tetapi, tidak pula ada mengatakan Islam hanya menyuruh mengutamakan produk halal dan bukan produk Muslim.

Dalam urusan kehidupan seharian, kita perlu mengutamakan mana yang lebih memberi kebaikan.

Jika ada dua barang halal yang tersedia iaitu satu dikeluarkan oleh Muslim dan satu lagi bukan Muslim, maka yang lebih baik ialah membeli dari pengeluar Muslim.

Islam mengajar kita agar saling bantu-membantu sesama Muslim terutamanya dalam membina kekuatan ekonomi umat, apatah lagi umat Islam kini sedang jauh terkebelakang dan lemah ekonominya.

Kita semua sedar peniaga-peniaga Muslim selama ini terpinggir di mana orang Melayu (yang semuanya beragama Islam) dicatatkan sebagai golongan termiskin sejak sekian lama di tanah ini.

Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk berjihad membantu dan membangunkan ekonomi ummah.

Jadi, kempen BMF adalah cara yang paling berkesan dan baik untuk kita saling menolong di mana semua orang berpeluang untuk ambil bahagian.

Kita bukan sahaja bertanggungjawab mencari yang halal sahaja tetapi lebih besar dari itu; membangun ekonomi dan membantu sesama Muslim.

Kita perlu memahami Islam dengan sisi pandang yang lebih luas.

Teruskan istiqamah kita dalam membangunkan ekonomi umat melalui kempen ini. InsyaAllah.


Friday 18 October 2019

MELAYU BANGKIT PERTAHAN HAK

Sekarang sering kedengaran seruan Melayu Bangkit. Fenomina ini berlaku setelah kebanyakan Melayu sedar sekarang ini banyak perkara keistimewaan Melayu mula dipinggirkan kepimpinan negara.

Malah, ada keadaan atau perkara itu cuba dihapuskan oleh pihak tertentu.

Perkara itu dapat dilihat apabila banyak perkara berkaitan 'tiang seri' Melayu telah diusik. Soal kedudukan Islam dan Raja-raja semakin dirobek dan dipersoalkan secara terbuka.

Sebenarnya episod penghinaan terhadap Melayu sememangnya sudah lama berlaku. Namun, disebabkan ia dilakukan secara tidak keterlaluan atau tidak secara pukulan ombak yang berterusan, Melayu masih boleh bersabar.

Namun, sekarang ini perbuatan itu secara ketara. Kejadiannya silih berganti.

Manakala pihak pemimpin Melayu yang sepatutnya mempertahankan Melayu telah berlaku sebaliknya.

Keadaan ini menjadikan individu dan kumpulan Melayu berasa perlu ada usaha menyedarkan kaum Melayu secara lebih tersusun dan bersatu untuk bangkit kembali.

Orang Melayu seharusnya sudah lama bangkit mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada terus dihakis.

Daripada segi tafsiran (bangkit ini adalah) terjaga daripada tidur dan apabila berasakan kuasa politik terhakis, kuasa ekonomi hilang mereka perlu bangkit.

Ini sesuatu yang menunjukkan bahawa sudah banyak perkara yang himpit bangsa Melayu.

Kempen Utamakan Produk Muslim juga satu kebangkitan Melayu. Majoriti Muslim di Malaysia adalah Melayu. Malah dalam Perlembagaan mengatakan bahawa seorang Melayu itu mestilah Islam.