Sunday 15 January 2017

CARA PASTIKAN DAPAT KHASIAT TONGKAT ALI

Tongkat ali atau nama sainstifiknya eurycoma longifolia jack diakui mampu meningkatkan kecerdasan dan stamina lelaki jika diamalkan secara berterusan.  

Tongkat ali boleh menyumbang rasa sihat secara keseluruhan dengan membantu badan meningkatkan pengeluaran testosteron iaitu sejenis hormon utama untuk lelaki. Ia turut meningkatkan kadar aliran darah dan kadar metabolisme.

Kadar testosteron akan mula menurun untuk lelaki yang berumur 30 tahun ke atas. Banyak kajian menunjukkan pengambilan tongkat ali pada kadar yang ditetapkan dan pada jangka masa yang tetap mampu meningkat kadar testosteron pada lelaki dewasa. 

Hormon testosteron amat penting untuk lelaki. Ia bukan setakat untuk stamina dan tenaga, yang penting ia menentukan kelelakian orang lelaki.

Pengambilan tongkat ali sudah diamalkan turun temurun oleh orang Melayu sebagai tonik atau ubatan tradisional untuk tenaga batin orang lelaki. Kini sains moden mampu mengeluarkan dan mengasingkan khasiat tongkat ali dan hasil yang asli, pekat dan selamat.

Produk tongkat ali sepatutnya bebas daripada bahagian tumbuhan seperti habuk, kayu serpihan atau daun sama ada daripada akar atau batang tongkat ali.  
 
Produk tongkat ali sepatutnya hanya pati daripada akar tongkat ali itu sendiri. Ia juga perlu dihasilkan daripada pokok tongkat ali yang berumur lebih tujuh tahun dan ditanam di tanah tinggi.

Produk yang baik adalah hasil pati akar tongkat ali yang boleh larut sepenuhnya dalam air. Ia juga perlu bebas dari bahan-bahan kimia tidak perlu, yang mana mungkin akan memudaratkan kesihatan. 

Bahan-bahan kimia yang tidak perlu ini sememangnya wujud secara semula jadi dalam pokok tongkat ali itu sendiri. Proses pengeluaran pati akar tongkat ali sepatutnya memastikan ia telah dikeluarkan sebelum dijadikan pil atau dicampurkan dalam minuman.

Sebagaimana pengambilan bahan herba yang lain, pengambilan rongkat ali tidak akan mula di rasa pada awal pengambilan. Kesannya akan meningkat secara perlahan-lahan dalam beberapa hari sehingga mencapai kadar maksimum.

Pengambilan tongkat ali boleh dilakukan pada sebelah pagi dan malam dan sebaiknya dengan makanan. Oleh sebab kesan 'panas'nya maka pengambilan tongkat ali perlu disertakan dengan minum air yang banyak.

Adalah dicadangkan tongkat ali tidak diambil secara berterusan. Ada cadangan ambil selama 5 hari dan kemudian berhenti 2 hari. Ada pula cadangan ambil selama sebulan dan kemudian berhenti seminggu. 

Pilihan pada pengguna dan ia bergantung pada keserasian diri individu. Yang penting tempoh berehat. Sebabnya masih belum diketahui namun didapati kesan tongkat ali lebih berkekalan bila ada tempoh rehat pada badan.

Berkaitan produk yang didakwa mengandungi kopi tongkat ali, kebanyakknya tidak seperti yang diharapkan. Pengambilan kopi yang sebenarnya hanya mengandungi kurang 0.05 miligram bahan aktif tongkat ali langsung tidak mendatangkan kesan dari sudut kesihatan.

Jika benar ia mengandungi ekstrak tongkat ali, kopi yang diminum berasa pahit. Tapi ada yang meminumnya mengakui lebih bertenaga tanpa menyedari ia disebabkan kandungan gula yang tinggi di dalam setiap paket. 

Malah, jika diamalkan berterusan dalam tempoh beberapa tahun, mereka pasti menghidap penyakit kencing manis.

Hasil analisis produk kopi yang didakwa mengundungi tongkat ali mendapati bahan aktif tongkat ali wujud tapi tidak dapat dikesan kerana dos yang amat kecil. 

Mengikut kajian saintifik, setiap pengambilan kopi tongkat ali perlu mengandungi sekurang-kurangnya 1 mg ekstrak tongkat ali dan daripada kandungan itu, hanya lima peratus ekstrak dapat diserap.

Bagaimanapun, kebanyakan produk kesihatan berasaskan tongkat ali hanya mengandungi serbuk kayu tongkat ali yang dikisar, bukannya ekstrak.

Tuesday 10 January 2017

PERLU SEGERA URUS JENAZAH

Segera urus jenazah. Setiap hari kita dengar berita mengenai kematian saudara mara, sahabat dan orang yang berada di sekaliling kita. Kita disarankan agar mendoakan si mati agar dirahmati Allah SWT.  Sesungguhnya akan tiba pula masa kita yang didoakan oleh orang lain. 

Islam menyuruh umatnya segerakan urusan kematian seseorang Islam yang mati, iaitu memandikannya, mengkafankannya, mensolatkannya dan kemudian menghantar kekubur dan mengkebumikannya.

Islam melarang jenazah itu dilambat-lambatkan diurusi. Orang-orang yang melambat-lambatkannya pula mendapat dosa kerana tidak akur perintah Allah dan Rasul-Nya.

Orang Melayu selalunya mengabaikan perintah menyegerakan urusan mayat ini, kerana selalunya menunggu anak-anak si mati pulang ke kampung atau ke rumah si mati, setelah itu barulah diuruskan pengkebumiannya.

Satu lagi perkara perlu diberi perhatian atau diambil kira apabila berlaku kematian ialah berkaitan dengan harta peninggalan si mati. Ini terutamanya berkaitan dengan hutang si mati.  

Perkara ini perlu dilakukan oleh waris si mati, terutama mereka yang menguruskan harta si mati. Isu tidak membayar hutang si mati bukan perkara kecil Justeru, soal hubang si mati perlu diutamakan dalam pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Roh orang beriman tergantung (terhalag daripada mendapat nikmat) kerana hutangnya sehingga ditunaikan ke atasnya." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim). 

Perlu disedari bahawa harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya terikat  dengan urutan di bawah: 
- Digunakan untuk membayar kos pengkebumian
- Membayar hutang
- Menunaikan wasiat (sekiranya si mati ada berwasiat)
- Difaraidhkan kepada ahli waris.

 Semoga waris dapat melaksanakan tugas ini sebaik mungkin. 

Monday 9 January 2017

STATISTIK KADAR PERCERAIAN MENINGKAT


Statistik bilangan kes perceraian amat membimbangkan. Sebanyak 92,678 pasangan di seluruh negara mendaftarkan penceraian masing-masing dalam tempoh 2012 hingga 2014 dengan ada antara mereka hanya berkahwin kurang daripada lima tahun. Angka itu menunjukkan berlaku peningkatan pendaftaran pence­raian setiap tahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Statistik menunjukkan pada 2012 sebanyak 29,253 pasangan mendaftar untuk bercerai, manakala pada 2013 pula sebanyak 29,583 pasangan dan angka tersebut terus meningkat kepada 33,842 pasangan pada 2014.

Antara masalah yang menjadi punca utama mereka mendaftarkan penceraian ialah lemah didikan agama, faktor ekonomi, campur tangan orang ketiga, masalah seksual, masalah sosial, masalah kesihatan, masalah kerjaya, tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi.

Bagi tempoh sama juga seba­nyak 12,434 pasangan telah mendaftar untuk rujuk kembali, dalam hal ini semua pihak harus sepakat mencari penyelesaian bagi mengelak statistik penceraian di negara ini terus meningkat setiap tahun.

Untuk mengurangkan kadar perceraian, kerajaan melancarkan Modul Pasca Perkahwinan Islam. 

Modul Pasca Perkahwinan dilancarkan bagi merealisasikan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam melalui pemantapan kualiti serta integriti setiap individu dalam keluarga.

Modul berkenaan dibahagikan kepada empat fasa perkahwinan iaitu Fasa Bulan Madu bagi tempoh perkahwinan satu hingga lima tahun, Fasa Sehati Sejiwa (enam hingga 10 tahun), Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

Sunday 8 January 2017

AL-QURAN MUKJIZAT AGUNG

Panduan hidup. Mukjizat kekal hingga kiamat. Al-Quran anugerah terbesar Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda.  Dari segi bahasa, al-Quran bermaksud bacaan.  

Manakala dari segi istilah al-Quran bermaksud kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril secara mutawatir di dalam bahasa Arab dan membacanya adalah ibadah.

Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi perintah-perintah Allah kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah untuk dijadikan pedomen hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam panduan berguna untuk manusia.

Penurunan al-Quran dianggap mukjizat yang memberi kebaikan dan kelebihan kepada seluruh umat manusia yang kekal hingga ke hari kiamat.  Penurunan kitab menjadi wasilah untuk agama sampai kepada kita untuk dijadikan pegangan. 

Selain al-Quran, Allah juga menurunkan kitab-kitab kepada umat terdahulu.  Namun kitab itu telah dimansuhkan penggunaannya apabila Al-Quran yang lengkap diturunkan. Tidak ada yang tertinggal, melainkan semuanya tercatat dalam al-Quran untuk panduan hidup manusia. 

Peristiwa penurunan al-Quran  dinamakan Nuzul al-Quran.  Ia berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi.  Ketika itu Rasulullah SAW berusia 41 tahun, berada di Gua Hira.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada baginda rasullullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Bermulanya dari detik itu, Rasulullah SAW secara beransur-ansur menerima ayat al-Quran.  Hikmah al-Quran tidak diturunkan sekali gus ialah untuk memudahkan manusia memahami keseluruhan tuntutan al-Quran. 

Contohnya, pada zaman sahabat, wahyu diturunkan oleh Allah SWT secara beransur-ansur mengikut waktu, keadaan, peristiwa dan tempat supaya dapat difahami, dihayati, dihafaz serta diamalkan terus dalam kehidupan mereka.

Sahabat bukan saja mampu membaca, menghafaz, memahami makna, bahkan lebih daripada itu. Setiap ayat yang sampai kepada mereka diamalkan penuh ikhlas serta kesungguhan. 

Al-Quran adalah panduan terbaik kepada seluruh umat manusia untuk mengamalkan syariat Islam melalui suluhan wahyu secara sepenuhnya.

Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236 ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah.  Ia melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf.  Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.

Kitab suci itu juga nama lain dan ulama menyatakan al-Quran mempunyai 66 nama, antara al-Furqan, al-Mau'izah, al-Kitab, al-Nur, al-Busyra, al-Ruh, al-Majid, al-Zikr dan al-Tanzil.  

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. 

Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Sedarkah kita bahawa di dalam al-Quran terkandung semua ubat kepada masalah di dunia ini. Hanya kita yang menganggap kitab suci yang merupakan antara mukjizat Nabi Muhammad SAW yang masih wujud hingga ke hari ini hanya perlu dibaca dan dihafal sebagai mencukupkan syarat sebagai seorang muslim yang bertakwa.

Firman Allah dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. 

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’.

Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am, ayat 38)

Saturday 7 January 2017

CARA MUDAH HENTI MEROKOK

Cara berhenti merokok. Ramadan masa terbaik peluang bantu henti merokok.  Ambil kelebihan puasa tinggal perbuatan bahaya itu.  Bagi perokok yang benar-benar ingin berhenti merokok, ketibaan bulan Ramadan ini adalah peluang terbaik.    

Kelebihan pertama mengapa lebih mudah menghentikan tabiat merokok pada bulan Ramadan ialah perbuatan itu termasuk perbuatan membatalkan puasa.  Justeru, sepanjang waktu siang pada bulan Ramadan semua orang berpuasa tidak merokok. 

Hakikatnya, perokok yang berpuasa boleh menahan diri daripada merokok dalam tempoh masa kira-kira 12 jam. 

Ini membuktikan tabiat merokok sebenarnya boleh dihentikan jika dilakukan dengan kekuatan iman dan kesedaran ‘tidak’ boleh merokok. 

Sekiranya ketika tidak berpuasa amat sukar untuk menahan diri daripada merokok dalam tempoh tiga jam, tetapi semasa berpuasa boleh dilakukan sehingga 12 jam.  Hakikatnya itu membuktikan satu kejayaan mengatasi  kesan yang biasa dirasai apabila tidak merokok.     

Jelas sekali kejayaan itu dilakukan dengan kekuatan minda dan perasaan.  Ketika berpuasa, minda dan perasaan ‘bersatu’ mengatakan tidak boleh merokok.  Jadi keinginan merokok secara tidak langsung hilang.    

Ini menunjukkan cara berkesan menghentikan ketagih merokok bergantung kepada kekuatan semangat dan keupayaan menangkis godaan syaitan. 

Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan cara menggalakkan melakukan perbuatan mendatangkan keburukan.  Merokok adalah antara perbuatan paling disukai syaitan agar manusia melakukannya. 

Jika perokok berjaya menahan diri daripada merokok sepanjang hari, rasanya tidak sukar untuk diteruskan selepas waktu berbuka.  Tindakan pertama perlu dilakukan ialah meneruskan azam dan semangat untuk tidak merokok.  

Sekiranya 12 jam mampu bertahan, mengapakan tidak dilanjutkan untuk beberapa jam lagi sebelum tidur.  Usaha ini sebenarnya tidak sukar dilakukan memandangkan waktu malam bulan Ramadan dipenuhi dengan ibadat. 

Sebagai contohnya, selesai makan berbuka puasa, diteruskan pula dengan menunaikan sembahyang Maghrib.  Elakkan daripada memberi ruang masa untuk memikirkan tentang keinginan merokok. 

Selesai sembahyang, berdoalah agar dapat menghentikan tabiat merokok.  Sesungguhnya doa dan usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan mudah dimakbulkan Allah SWT. Allah mencampakkan kekuatan dalam diri untuk mempermudahkan usaha murni itu.  

Selesai sembahyang Maghrib dilakukan pula persiapan ke masjid untuk bersembahyang Isyak dan kemudian diikuti sembahyang tarawih.  Masanya sembahyang Isyak dan sembahyang tawawih agak panjang sehingga lebih daripada sejam. 

Selesai sembahyang tarawih, di kebanyakan masjid meneruskan dengan tadarus membaca al-Quran.  Paling kurang mengambil masa sejam lagi.

Selesai tadarus, waktu sudah hampir pukul sebelas malam.  Apabila pulang ke rumah, sudah hampir waktu tidur. 

Jangan biarkan fikiran dan perasaan ingin kepada rokok.  Jika terasa ingin merokok, cepat-cepat masuk tidur atau meneruskan ibadat sunat lain.  Semoga anda berjaya berhenti merokok dan mulakan Aidilfitri dengan azam untuk terus tidak merokok.

TANGKIS FITNAH CARA DAKWAH

Hina, fitnah, umpat, tuduhan, provokasi cetus tegang.  Umat Islam perlu bersatu menangani isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad, terutama yang dilakukan di laman sosial.

Memandangkan penghinaan itu dilakukan di laman sosial, maka melalui medium sama juga masalah itu perlu ditangani.

Memang, isu ini telah cuba ditangani oleh pihak berkuasa. Tetapi, pada masa sama menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk menjalankan tugas dakawah.

Pendekatan berdakwah melalui laman sosial dilihat bersesuaian pada zaman sekarang yang mana masyarakat semakin kurang menghadiri ceramah agama di masjid, sebaliknya lebih tertumpu di depan komputer.

Kita kena ikut peredaran zaman. Kalau masih menggunakan medium lama seperti mengadakan ceramah di tempat umum, dakwah tak sampai, sebab mereka (orang yang menghina nabi) tak pergi masjid.

Malang sekali, banyak individu lebih menggunakan medium sosial untuk bertelagah dan melakukan fitnah sesama sendiri.  Mereka lebih berminat untuk menyebarkan fitnah, berbanding untuk berdakwah.

Sesungguhnya, peranan dakwah bukan saja perlu dilakukan oleh mufti, pak imam, ustaz dan guru agama saja.  Tugas itu menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam. 
 

Pengisian yang jelas perlu diterapkan dalam dakwah jika disampaikan sebagai sesi kaunseling kepada masyarakat cetek ilmu agama dan memandang remeh isu sensitif itu.

Dalam Islam, umatnya tidak diajar menghina agama lain.  Isu yang menyentuh sensitiviti keagamaan sepatutnya tidak timbul kerana sebelum ini rakyat Malaysia boleh hidup dengan aman dengan saling menghormati kepercayaan masing-masing.


Perkara 3 Perlembagaan Malaysia menjelaskan bahawa agama islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 11. Kebebasan Beragama

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.


(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

AKTA FITNAH 1957


Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia.  

Namun, pada masa sama, Perkara 10 di bawah Fasal (2), (3) dan (4) menjelaskan mengenai batasan atau sekatan untuk memastikan kebebasan yang diberikan itu tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan.  

Untuk menghalang sikap tidak bertanggungjawab menyalahgunakan Perkara 10 (1) (a), kerajaan mewujudkan Akta Fitnah 1957.  

Akta tersebut bertujuan melindungi masyarakat daripada menjadi bahan fitnah orang yang tidak bertanggungjawab. 

Fitnah adalah kata-kata dusta mengenai orang lain dan dihebahkan atau disiarkan kepada pihak ketiga. . 

Jika fitnah itu mengandungi unsur jenayah, tuduhan boleh dikenakan di bawah Kanun Keseksaan (S.449) dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara dan/atau denda. Dalam kes fitnah, tanggungjawab membuktikan sesuatu (burden of proof) terletak pada yang dituduh membuat fitnah. 

Pihak yang tertuduh perlu membuktikan bahawa kenyataan/ keterangannya itu adalah benar dan merupakan berita atau ulasan yang adil (fair  comment) dan dibuat untuk kepentingan orang ramai.

Kewujudan akta fitnah dilihat satu perkara yang telah banyak menghalang pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan persekitaan kehidupan rakyat yang kucar kacir dan saling memperkecilkan antara satu sama lain.

Hasil akta ini dapat melahirkan masyarakat Malaysia agar lebih peka untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan. Ini penting dalam kehidupan masyarakat yang pelbagai kaum dan agama anutan. 

Isu sensitif berkaitan kaum dan agama sering ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.  Namun perkara ini dapat dibendung dengan adanya akta fitnah ini.

Sesungguhnya, biarpun ada yang menganggap kewujudkan akta ini sebagai menyekat kebebasan bersuara, hakikatnya, ia satu ‘pagar’ keselamatan yang diperlukan di negara kita. 

Kita tidak boleh membandingkan negara lain dengan negara kita.  Kebebasan mereka boleh diberikan kerana persekitaran kehidupan masyarakatnya berbeza dengan kita.  

Terimalah seadanya apa yang ada dan dikuatkuasakan di negara kita demi untuk kepentingan semua pihak.

Sesungguhnya, yang terbaik untuk negara kita adalah berdasarkan kepada keperluan semasa dan yang memberi kesan yang menjamin kepentingan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, serta siapa dia.  

AKTA LAIN

Selain itu beberapa Akta lain turut mempunyai kaitan langsung untuk mengekang penyebaran fitnah, mengelak kebocoran rahsia, mengekang tindakan tidak bertanggungjawab dan menyebar sesuatu yang tidak sepatutnya.

Akta Hasutan 1948: 

Bertujuan menghukum sesiapa yang membangkitkan soal-soal sensitif dengan tujuan menghasut dan membahayakan keselamatan negara. 

Akta ini meliputi kata-kata hasutan yang dibuat di luar dan di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Sesuatu kenyataan dianggap menghasut apabila menyentuh keselamatan negara atau bertujuan menghasut. 

Kesan hasutan tidak perlu ada pada pihak ketiga dalam kes menghasut. Akta ini dikuatkuasakan ke atas rakyat Malaysia yang berada di dalam atau luar Malaysia.

Akta Rahsia Rasmi (pindaan)1986: 

Bertujuan menjaga rahsia rasmi negara supaya ia tidak dibocorkan kepada pihak yang ingin mendapat keuntungan serta merta atau yang boleh mengancam keselamatan negara. 

Jika sabit kesalahan hukumannya penjara mandatori di antara satu hingga tujuh tahun. Akta ini boleh dikuatkuasakan ke atas seseorang rakyat Malaysia di negara mana jua kesalahan itu dilakukan. 

Dokumen yang dianggap rahsia rasmi Kerajaan ialah kertas-kertas yang ditentukan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia Sulit” atau “Terhad” yang ditetapkan oleh Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau pegawai-pegawai tertentu yang diberi kuasa.

Kanun Keseksaan: 

Ada beberapa peruntukan jenayah dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) yang menyentuh kebebasan bercakap. Sekatan dibuat mengenai perkataan-perkataan yang mencabul kehormatan wanita (S.509), ugutan (S.503), mengeji atau mencerca (S.504), kenyataan khianat, berita angin (S.505), iklan buku-buku lucah (S.292) dan kenyataan yang boleh menyinggung agama (S.298). 

Kesalahan di bawah Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dan/atau didenda.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984:

Bertujuan mengawal semua jenis penerbitan sama ada yang dicetak di dalam negeri atau yang diimport. 

Sesiapa mencetak atau mengeluarkan penerbitan lucah atau bertentangan dengan akhlak atau sesuatu yang mengandungi hasutan supaya mengingkari perintah yang sah atau yang boleh membawa kepada kekacauan atau permusuhan kaum dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini. Dia boleh dihukum dan mesin cetaknya boleh dirampas.

InjuctionIalah cara untuk membatasi kebebasan berucap atau menerbitkan sesuatu perkara yang menjadi isu. Injuction juga merupakan penapisan perundangan (judicial censorship). 

Jika ada sesuatu laporan yang telah diterbitkan maka mahkamah, atas permintaan salah satu pihak yang terlibat, boleh mengeluarkan injuction untuk mencegah siaran mengenai isu yang dipersoalkan dibuat selanjutnya, sama ada dalam bentuk buku atau siaran di media.

KHASIAT MISAI KUCING

Khasiat misai kucing kaya khasiat rawat penyakit, bantu pulih kesihatan dan beri tenaga sudah lama diperkatakan dan digunakan masyarakat Melayu.

Misai kucing antara lain dapat berfungsi untuk rawatan:
- Mengawal kencing manis
- Mengurangkan darah tinggi
- Mengelak jangkitan saluran kencing.
- Mengelakkan batu karang (kencing lawas)
- Merangsang kesihatan prostate
- Menggalak hormone testeron
- Membantu menyingkirkan asid urik (gout)
- Arthritis, reumatik, nephritis
- Arteriosclerosis
- Mengurangkan kadar kolestrol
- Melancarkan peredaran darah
- Mengurangkan penyakit kardiovaskular
- Anti kanser
- Sakit jantung

Kehebatan penyembuhan pokok misai kucing ini adalah lantaran kandungan kimianya yang hebat seperti cirsimaritin, myoinositol, orthosiphon, pillion, rhamnasin, bmlt oioioldsalvigenin, kerotin, kerotinoid, minyak pati, flavanoid, glukosid, glikoprotein, saponin dan terpenoid. 

Kajian mendapati ianya mampu:-
- Membuang dan mencuci darah dari toksid yang berlebihan.
- Membantu tubuh mengeluarkan bendalir berlebihan terutamanya dari sendi.
- Mengandungi kandungan kalium yang mencukupi untuk menggantikan kehilangan kalium dari badan semasa pembuangan air kencing.
- Merawat penyakit kencing manis, gout, athriris, reumatik dan penyakit batu karang.
- Mencegah pembentukan batu karang dan jangkitan saluran kencing.
- Mengurangkan kadar kolesterol darah.
- Menurunkan tekanan darah tinggi.
- Melegakan kekejangan smooth muscle pada dinding organ dalaman di samping sifat antiseptiknya. 

Monday 2 January 2017

CARA DAPAT LAILATULQADAR

Allah SWT telah menjanjikan bahawa sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatul qadar, maka akan diberi ganjaran pahala amalan mereka itu melebihi ibadah yang dilakukan selama 1,000 bulan.

Memandangkan tidak diketahui bilakah Lailatulqadar, mengikut akal logik, jika kita 'borong' kesemua malam pada bulan Ramadan, terutama pada 10 mlam terakhir seperti dijelaskan dalam hadis, sudah pasti kita tidak akan terlepas mendapatnya. 

Jumlah 10 malam terakhir bukan 'banyak' untuk dipenuhi dengan ibadat berbanding ganjaran yang diperoleh. Inilah pentingnya fokus dan ikhlas agar apa yang dilakukan dirasakan mudah dan sesuatu yang disenangi. 

Tetapi fenomena sebaliknya berlaku dalam masyarakat kita. Biasanya, pada akhir-akhir Ramadan, kita telah mula hilang fokus kepada ibadat. Ia mungkin berpunca rasa sudah 'jemu' melakukan ibadat sejak awal bulan lagi. 

Mungkin juga kehebatan ibadat pada awal Ramadan hanya sekadar satu ritual yang diamalkan sejak turun temurun. Sebab itu, amat penting kita menanam dalam diri setiap muslim melakukan ibadat kerana mencari keredaan Allah SWT, dan bukannya kerana terikut-ikut dengan budaya atau pengaruh masyarakat sekeliling. 

Jika kita benar-benar ingin beribadat pada malam Lailatulqadar, sesibuk mana sekalipun peluang masih ada. Beribadat tidak semestinya di masjid atau atas tikar sembahyang sahaja.

Berzikir, beristigfar, berselawat, membaca al-Quran (walaupun sekadar beberapa ayat atau surah lazim), bersedekah, membantu sesama muslim dan melakukan sesuatu kebaikan juga termasuk dalam ibadat yang perlu dilakukan pada malam Lailatulqadar.

Dengan kata lain, tidak sukar untuk menghidupkan malam Lailatulqadar mengikut kesempatan masing-masing. Selagi bulan Ramadan belum berakhir, peluang untuk menjadi tetamu Lailatulqadar masih ada.

Dalam menghayati pengertian al-Qadar itu sendiri, sebahagian ulama berpendapat bahawa ia bermaksud pengagungan.

Oleh yang demikian, di sini dapat kita fahami bahawa lailatul qadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah SWT serta pada malam tersebutlah juga Allah SWT akan menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah pada malam tersebut.

Selain itu, al-Qadr juga membawa maksud penetapan. Oleh itu, lailatul qadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya.

Lebih istimewa lagi apabila malam lailatul qadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari dan meraih rahmat serta kasih sayang daripada-Nya.

Justeru bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadhan, maka pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam yang lebih mulia daripada seribu bulan ini.

Oleh yang demikian, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan, umat Islam disarankan agar terus melipatgandakan ibadah-ibadah sunat bagi mencari dan merebut malam lailatul qadar.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan (hadis riwayat Muslim).

Dalam sabdanya yang lain, Baginda SAW juga ada menyebut yang bermaksud: "Carilah lailatul qadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir (hadis riwayat Muslim).

Daripada kedua-dua hadis di atas dapat disimpulkan bahawa kita seharusnya melipatgandakan ibadah pada malam-malam yang ganjil bermula 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan.

Malah, dalam melewati sepuluh hari terakhir Ramadhan, Rasulullah SAW akan mencari lailatul qadar dan menyeru sahabat-sahabat Baginda agar turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam-malam berkenaan dengan beribadah (qiamullail).

Bahkan, baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadhan dengan harapan supaya dapat memperoleh lailatul qadar yang penuh dengan keistimewaan dan keberkatan.

Para ulama berbeza pendapat sama ada Lailatulqadar berlaku pada malam genap atau malam ganjil daripada 10 malam terakhir itu.  

Menurut pendapat Imam Nawawi, memandangkan hadis mengenai Lailatulaqdar berselisih waktunya, ini menunjukkan bahawa malam berkenaan berpindah-pindah pada setiap tahun.

Waktu Lailatulqadar bermula selepas Maghrib hingga terbit fajar keesokkannya. Dalam masyarakat kita ada menyebut mengenai 'tanda' malam itu adalah Lailatulqadar. Ada yang mengatakan pada malam itu keadaannya sunyi, dingin berbanding hari-hari biasa, ada petanda pelik dan sebagainya. 

Bahkan, ada mengaitkan betapa agung Lailatulqadar hingga semua kejadian di muka bumi ini 'terpegun' dan berubah sifat biasanya. Laut bergelora menjadi tenang, air menjadi tawar, air sungai berhenti mengalir, api tidak lagi membakar, pokok sujud dan sebagainya.

Itu semuanya hanya satu andaian, atau boleh dikaitkan dengan mitos yang tidak boleh dipertanggungjawabkan sahihnya, tidak masuk akal dan mengada-ada. Sedangkan hakikatnya tidak siapa tahu bilakah sebenarnya malam telah berlaku Lailatulqadar. 

Perlu diingatkan, jangan pula kita berlebih-lebih dalam membuat pengcaman Lailatulqadar sehingga ada yang melibatkan perkara khurafat. Pertingkatkan ibadat, bukannya mencari tanda-tanda Lailatulqadar. 

Kita tidak perlu mengetahui sama ada malam itu Lailatulqadar atau tidak. Ibadat bulan Ramadan memberi ganjaran yang besar. Biarlah kita tidak dapat tahu telah memperoleh Lailatulqadar, kerana apa yang penting ialah catatan pahala yang bakal diketahui di akhirat kelak.

Sebenarnya, lebih baik kita tidak mengetahui bila malam Lailatulqadar bagi mengelak kita menjadi angkuh dan malas beribadat kerana telah mendapat Lailatulqadar.  

Biarlah Lailatulqadar terus rahsia dan kita terus memburunya setiap tahun sepanjang kita masih berpeluang hidup pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya ibadah qiamullail merupakan kegemaran Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

Ummul Mukminin Saidatina Aishah pernah berkata: "Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk."

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu" (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalah peristiwa yang lain, telah diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau mengejutkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: "Solat, solat" sambil membaca ayat 132 daripada surah Taha yang bermaksud: "Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa".

Sewajarnya teladan yang ditunjukkan oleh Rasullullh SAW dan para sahabat Baginda dalam menghayati bulan Ramadhan dan sepuluh malam terakhir Ramadhan dijadikan pedoman kepada seluruh umat Islam pada hari ini.