Monday 27 June 2016

Peniaga perlu kreatif

Pengusaha perlu mengamalkan proses kreativiti dalam mengembangkan perniagaan. Proses itu memberi peluang untuk pengusaha melalui peringkat-peringkat tertentu dengan teratur.  

Sikap tidak mengikut peringkat, biarpun 'laju' dalam usaha dilakukan, besar kemungkinan akan menimbulkan banyak masalah. 

Usaha dalam perniagaan tidak boleh dilakukan terburu-buru, sebaliknya biarlah mengambil masa lebih bagi menjamin apa dilakukan berjalan lancar.  

Cari atau tentukan bidang yang ingin diceburi, cari pengalaman dan pengetahuan sebanyak mungkin, cutuskan idea-idea baru, buat kajian mendalam dan kemudian baru dilaksanakan. 

Untuk menghasilkan idea kreatif perlu kepada teknik yang betul. Tanpa menggunakan kaedah betul, idea yang dilahirkan mungkin tidak cukup baik untuk dilaksanakan. Cara pemikiran 'ikut terlintas' dan terus laksanakan tanpa berfikir panjang banyak mendatang keburukan. 

Memang, mungkin secara sepintas lalu, apa yang terlintas di fikiran itu lojik dan sesuai dilakukan, tetapi di sebalik tindakan itu mungkin memberi kesan buruk tidak dijangkan. Sebab itu, amat penting, semua aspek dikaji baik dan buruknya sebelum sesuatu keputusan dilakukan.

Dalam apa keadaan sekalipun, memang tidak dapat lari daripada halangan. Ini hakikat yang mesti diterima, termasuklah dalam soal untuk menghasilkan kreativiti. 

Masalah tidak ada keyakinan peribadi, takut kepada kritikan, luar kawalan dan tekenan perasaan menjadi penghalang utama. Halangan ini perlu ditanggani dengan bijak dan jangan biarkan ia menjadi penghalang hingga menutup sepenuhnya ruang untuk menghasilkan kreativiti. 

Proses motivasi diri dengan mendapat nasihat pakar perlu untuk mengatasi masalah tidak ada keyakinan diri. Jadikan orang yang telah berjaya sebagai idola dan ikutan. 

Perasaan takut kepada kritikan perlu dijauhkan kerana memang sifat manusia tidak sempurna. Sebarang kritikan diterima dengan hati terbuka dan cuba ambil pengajaran atau penduan daripada kritikan itu.   

Berkaitan, di luar keupayaan kawalan, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan manusia. Memang setiap orang ada batasan keupayaan.  

Namun, perkara itu dapat diatasi jika dibuat penyusunan tugasan dengan sempurna. Pengusaha perlu mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri dalam merancang sesiapa tindakan.

Manakala, dalam aspek tekanan perasaan, perkara ini dapat diatasi jika pengusaha selalu memandang kepada perkara positif. Tekanan yang dihadapi perlu disahut dengan usaha yang lebih baik dan semangat lebih kental.

Tekanan sebenarnya boleh dianggap satu motivasi atau tonik untuk kita berusaha lebih baik untuk mencapai sesuatu yang lebih sempurna.

Diharapkan kandungan yang diutarakan dapat memberi manfaat untuk pertambahan ilmu dan proses mendalami ilmu berkaitan peringkat dalam proses kreativiti, cara untuk menjana idea seta halangan-halangan yang sering wujud dalam usaha untuk mewujudkan kreativiti.      

Sunday 26 June 2016

Khasiat mas cotek

Pokok emas cotek ataupun mas cotek merupakan pokok herba yang digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Pokok mas cotek dibahagikan kepada mas cotek jantan (berdaun kecil) dan mas cotek betina (berdaun besar). Mas cotek dikenali juga dengan berbagai nama seperti sempit-sempit, agoluran, barito, ara jelatih, ara tunggal, api-api telinga gajah, api-api telinga kera, raja ubat dan secotek emas.

Nama mas cotek diberi atas sebab terdapatnya bintik-bintik halus berwarna emas pada permukaan atas setiap helaian daunnya. Malah pada buahnya terdapat titik yang berwarna merah muda. 

Mas cotek dikatakan merupakan pusaka asli wanita dalam warisan perubatan Melayu. Ia diamalkan bagi mengecutkan saluran peranakan dan merapatkan pintu rahim serta mengembalikan rahim pada kedudukan asal serta mengukuhkannya.

Mas cotek kaya khasiat dapat meningkatkan ghairah seks yang dianggap pokok raja ubat semakin mendapat sambutan. 

Untuk perubatan, pokok ini berkesan untuk menyembuh dan membetulkan kerosakan urat saraf dengan cara mengeringkan 2-3 helai daunnya (campuran antara pokok jantan dan betina) dan direbus dengan 3 cawan air hingga tinggal secawan.

Minum airnya bila suam. Ia juga boleh digunakan untuk mengembalikan rahim kekedudukan asal dan mengecutkan rahim untuk perempuan baru lepas bersalin. 

Ia juga boleh digunakan untuk mengubat paru-paru berair. Selain dari daun dan akarnya yang direbus, buahnya juga boleh dimakan (sebanyak 3-5 biji sehari) untuk menyihatkan badan

Air rebusan daun, batang, akar, dan buah mas cotek terbukti dapat menyembuhkan penyakit paru-paru berair, sakit pinggang, mengurangkan keletihan, dan yang paling utama ialah ia mampu meningkatkan keinginan seks bagi pasangan suami isteri.

Ia juga dipercayai dapat bertindak balas terhadap rangsangan hormon lelaki untuk meningkatkan daya ketegangan alat kelamin. Daun mas cotek boleh dipetik dan dikunyah semasa segar.

Mas cotek kaya dengan mengandungi bahan aktif yang sangat penting untuk sistem tubuh seperti flavonoid, tannins, triterpenoids, proanthosyanins dan pehnols.

Bahan aktif itu mampu berfungsi untuk:
- Mengurangkan keletihan.
- Memperbaiki peredaran darah.
- Mengeluarkan toksin badan.
- Memecah lemak.
- Membuang kolesterol dalam darah.
- Memperbaiki daya fokus dan ingatan.
- Membuang toksid dari badan.
- Mengawal penyakit kencing manis.
- Mengurangkan darah tinggi dan lemah jantung.
- Mengurangkan kesan sakit pinggang.
- Meningkatkan keinginan seks suami dan isteri.
- Menguatkan otot kelamin tuan dan puan.
- Melancarkan peredaran haid.
- Merawat penyakit pneumonia.
- Memperbaiki kerosakan urat saraf.
- Membantu mengatasi masalah keputihan.
- Merawat migraine.
- Merawat resdung.
- Merawat batu karang.
- Merawat gout.

Friday 24 June 2016

Dosa mendedahkan aib sendiri

Biasanya orang yang melakukan perbuatan dosa akan berusaha untuk menyembunyikan daripada pengetahun orang ramai. Malah, jika diketahui orang lain, pelaku perbuatan salah itu akan bertegas menafikan perbuatan itu. 


Ironinya keadaan ini nampaknya sudah berubah, walaupun tidak melibatkan semua orang, ada orang yang melakukan perbuatan aib akan mendedahkan untuk pengetahuan orang ramai dan merasa bangga untuk dipertontonkan kepada orang ramai melalui laman sosial.


Laman sosial sepatutnya digunakan untuk berkongsi perkara-perkara baik dan mengembirakan orang lain. Begitu juga dengan penyebaran gambar atau status di laman sosial untuk memberitahu mengenai sesuatu kejadian dan kedudukan terkini. 


Justeru, menjadi perkara yang tidak sepatutnya berlaku penyebaran gambar lucah membabitkan sepasang pelajar universiti. Gambar pasangan terbabit yang kelihatan berbogel itu, dipercayai dirakam ketika menginap di sebuah pusat peranginan, sebelum dimuat naik menerusi akaun Facebook.


Walaupun pasangan perempuan di dalam gambar menafikan dan telah membuat laporan polis bahawa akaun Facebook yang menggunakan namanya itu bukan miliknya. Sebaliknya, akaun tersebut telah dibuka oleh pasangannya dengan menyalahgunakan namanya. 


Siapapun yang membuka akaun tersebut, ia melibatkan salah seorang dalam gambar lucah itu. Maksudnya, jika ditujukan bahawa teman lelakinya yang menggunakan akaun palsu, perbuatan itu tetap tidak bermoral.


Dalam Islam, perasaan malu dikaitkan dengan tahap keimanan seeorang. Banyak hadis Rasulullah SAW yang menyebut mengenai pentingnya perasaan malu dan kaitannya dengan keimanan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman itu ada lebih 60 cabang.  Dan sifat malu itu adalah sebahagian daripada cabang iman.” (Hadis riwayat Abu Hurairah). Manakala satu lagi hadis yang diriwayatkan Muslim dan Tirmizi pula bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman.”

Sebenarnya kes mendedahkan perbuatan dan gambar aib di laman sosial bukan pertama kali berlaku. Sudah terlalu banyak gambar dan status dipaparkan di laman sosial mengenai perbuatan memalukan, yang bertukar menjadi perkara membanggakan. Rakan-rakan yang sealiran dan melakukan perbuatan yang sama pasti akan memberi reaksi memuju dan mengucapkan tahniah pernyebaran kisah memalukan itu. 


Bagi orang yang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielak daripada melakukannya. Perasaan malu menjadi perisai diri daripada melakukan perkara ditegah oleh agama, undang-undang dan tata susila kemanusiaan. 

Thursday 23 June 2016

Cara taubat hapus dosa

Hendaklah segera taubat dengan cara betul bagi memastikan terhapus dosa. Sesungguhnya, Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk hamba-Nya memperbetulkan kesilapan dan dosa yang telah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak disedari. Setiap dosa dilakukan menyebabkan kekotaran di dalam diri atau hati. Maka, untuk membersihkan dosa itu Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa.

Taubat bererti kembali, iaitu membawa maksud kembalinya seorang hamba kepada Allah daripada segala perbuatan dosa yang dilakukannya. Oleh itu, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki ketinggian Allah.

Taubat boleh dilakukan bila-bila masa tidak kira di mana kita berada. Namun perlu diingatkan bahawa taubat jua ada masa atau hadnya iaitu Allah akan menolak permohonan taubat apabila nyawa telah berada di halkum atau ketika maut telah terlalu hampir. 

Sebab itu, kita tidak seharusnya melengah-lengahkan taubat. Sebaik menyedari telah melakukan dosa, tidak kira kecil atau besar, maka perlulah terus bertaubat. Sikap menangguhkan taubat ingin dilakukan apabila usia tua perlu dijauhkan.  

Ingatlah, bahawa kita tidak tahu bilakah akan tiba ajal. Banyak kes kematian berlaku secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya dan penyakit berbahaya yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba.  

Taubat membolehkan manusia memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat dan seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan ketaatan penuh keikhlasan kepada Allah.

Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya yang hatinya masih beriman kepada-Nya kecuali dosa syirik. Biarpun sebesar mana dosa yang dilakukan, Allah tetap mengampunkan. 

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah azz-Zumar, ayat 53)

Jika ia melibatkan dosa syirik, biarpun tidak diampunkan, tidak pula bermakna peluang untuk memperbaiki diri tertutup langsung. Dosa syirik dihapuskan melalui pengakuan mengesakan Allah atau mengucap dua kalimah syahadat. 

Manakala dosa melibatkan sesama manusia, dosa itu perlulah diampunkan oleh orang yang berkenaan. Sebagai contoh, jika ia berkaitan dosa mengumpat atau fitnah, maka untuk menghapuskan dosa itu maka hendaklah mendapat kemaafaan daripada orang yang diumpat atau difitnah itu.

Sebab itu, kita dinasihatkan agar berhati-hati dalam hubungan sesama manusia. Tentulah amat sukar untuk kita memohon kemaafan sesama manusia, tambah lagi ia melibatkan jumlah orang yang terlalu banyak. 

Namun begitu, bagi siapa yang menyedari betapa banyak dosa yang telah dilakukan sesama manusia dan merasakan tidak mungkin dapat memohon kemaafan dari setiap individu yang telah dibuat kesalahan, maka tetap bertaubat memohon keampunan terus kepada Allah. 

Rasulullah SAW menjelaskan sememangnya manusia tidak terlepas daripada kesilapan dalam hidupnya dan selamanya manusia itu tidak maksum atau terpelihara kecuali nabi dan rasul. Pun begitu, keadaan itu tidak pula seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan dosa. Kita mesti sedaya mungkin mengelak daripada melakukan dosa. Hanya jika telah melakukan dosa maka teruslah bertaubat memohon keampunan daripad Allah.   

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Darimi)

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Hamba yang sedar akan dosa yang telah dilakukan terus bertaubat kepada Allah dan menyerahkan diri kepada-Nya dengan penuh penyesalan dan seterusnya membulatkan tekad keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.

Inilah antara ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang bermaksud: "Dan (antara ciri orang bertakwa itu) ialah orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135-136)

Taubat bukan sekadar melafaz ucapan, sebaliknya mereka yang bertaubat hendaklah menyesal dan insaf terhadap kesilapan terdahulu dan bertekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.

Sesungguhnya taubat bukan saja untuk menghapuskan dosa, tetapi juga sebahagian daripada ibadat. Maka itu, kalaupun merasakan diri tidak melakukan sesuatu dosa secara terang-terang, sebenarnya masih dituntut agar bertaubat sebagai sebahagian amalan harian. Tindakan itu dapat mengingatkan kita agar tidak melakukan dosa-dosa lain.   

Diriwayatkan Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang. Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah, "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika Rasulullah SAW yang tidak melakukan dosa tetapi tetap melakukan taubat, mengapakah pula kita yang sentiasa tidak sunyi daripada melakukan dosa bertindak sebaliknya. Janganlah kita sombong dan menjauhkan diri daripada rahmat Allah. Jadilah kita hamba yang sentiasa membersihkan diri dengan memperbanyakkan taubat.

Wednesday 15 June 2016

Sebab ibadat jadi adat

Keghairahan melakukan ibadat kadang-kadang menjadikan ia sebagai satu adat atau ritual. Mereka lupa hakikat ibadat yang sebenarnya. Sikap terikut-ikut tanpa ilmu mengenai sesuatu perkara dilakukan menjadikan perbuatan itu lebih kepada adat.

Contohnya dalam ibadat puasa. Pada bulan Ramadan banyak orang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan ibadat lain. Wanita yang tidak bertudung, akan bertudung. Itu memang baik dan digalakkan. Tetapi, adakah itu satu keinsafan atau kerana sudah dianggap adat dan ritual?  Buktinya, apabila habis bulan Ramadan, maka masing-masing lupa tentang ibadat dan batasan dosa. Kebanyakan orang akan kembali kepada kehidupan asal.    

Begitu juga dalam soal menyambut Aidilfitri.  Sambutan dilakukan dengan hebat sekali sehingga sebulan lamanya. Hakikatnya, Aidilfitri hanya pada 1 Syawal. Pun, tidak salah untuk dilanjutkan untuk tempoh dua tiga hari. Tetapi kalau sudah sehingga sebulan lamanya, itu kita sudah keterlaluan. Bahkan ada yang masih mengadakan majlis sempena Aidilfitri biarpun Syawal sudah tamat.  

Alasan mengatakan raya sebulan disebabkan puasa sebulan adalah rekaan semata-mata. Menariknya, yang lebih-lebih menyambut raya adalah mereka yang tidak berpuasa dengan sempurna. 

Lihatlah, di kalangan orang beriman, mereka menyambut hari raya alakadar saja. Mengambil perkara wajib saja dan menepati apa tuntutan agama seperti diajar oleh Rasulullah SAW.

Dalam ibadah korban pun sama. Kerana hendak melakukan ibadah korban, ada yang sanggup berhutang. Mereka berhutang bukan kerana kekuatan iman untuk melakukan ibadah korban, tetapi kerana telah menganggap ibadat korban perlu dilakukan setiap tahun, maka rasa janggal jika tidak dilakukan pada tahun itu. Itulah yang dikatakan, ibadah yang telah dijadikan adat dan ritual. 

Begitu juga, ada ibu bapa yang tidak mahu melakukan ibadat korban pada Hari Raya Haji atau Aidiladha jika anak-anak di perantauan tidak pulang. Itu bermakna ibadah korban dilakukan disebabkan kepada perkara atau musabab lain, iaitu anak pulang berhari raya. Itu juga dipanggil adat dan ritual yang diadakan setiap tahun kerana ada tujuan di sebalik perintah Allah.

Bagi yang mempunyai keluarga ramai, mereka melakukan ibadah korban seekor lembu. Itu satu yang amat dituntut yang bukan sahaja dapat melaksanakan ibadah korban, tetapi juga mengeratkan hubungan keluarga. Tetapi malangnya, apabila ada yang menganggap amalan itu sebagai satu yang ‘wajib’ dan rutin tahunan. Jika ada ahli keluarga yang tidak mahu melakukan ibadat korban tahun itu, dipandang serong atau seperti dipaksa untuk turut serta. Hingga yang tidak berkemampuan terpaksa berhutang.

Kerana itu timbullah amalan yang lebih bersifat adat dan ritual dalam keluarga. Mereka ingin ibadah korban itu nampak meriah dan hebat. Maka itu ada yang menetapkan agar ahli keluarga memakai baju yang sama warna, corak serupa dan sebagainya. Tudung, kasut, selipar dan sebagainya diambil kira untuk tujuan nampak meriah.

Mereka pentingkan kemeriahan sehingga melupakan yang wajib. Perkara yang disuruh agama tidak dilakukan, sedangkan yang tidak dituntut diperbezar-besarkan. Apa saja akan dilakukan asalkan nampak meriah dan hebat. 

Inilah akibatnya apabila lebih mementingkan kemeriahan berbanding tujuan melaksanakan ibadat. Ibadat telah bertukar menjadi adat dan ritual. Sebab itu, ketika melakukan sesuatu ibadat lain, mereka terlupa telah melakukan dosa lain. Atau tidak peduli, tidak ambil kisah atau membiarkan diri tidak melakukan suruhan yang sepatutnya lebih diutamakan.  

Sunday 5 June 2016

Cara lafaz niat puasa Ramadan

Niat adalah perkara asas menentukan kedudukan perkara dilakukan. Apa maksud niat? Dari bahasa ia bermaksud kehendak hati atau tujuan hati. Manakala mengikut istilah pula ialah gerak hati melaksanakan sesuatu perkejaan dengan tujuan mencari keredhaan Allah SWT.

Kenapa niat penting? Pertamanya untuk bezakan ibadat dengan adat. Keduanya untuk tentukan qasad amal adakah untuk Allah atau lainnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

Adakah niat mesti dilafazkan? Seperti dijelaskan apa itu niat sama ada mengikut bahasa mahupun istilah, niat adalah berkaitan di dalam hati. Jadi tidak perlu niat itu diucapkan atau dilafazkan.

Namun, dalam amalan masyarakat di Malaysia, niat berkaitan ibadat khusus dilazimkan dengan ucapan sekali seperti niat puas, niat zakat dan niat sembahyang.  

Perkara ini dilakukan bagi 'memperkuatkan' dan 'menjelaskan' niat itu. Jadi, sebenarnya untuk niat puasa mahupun niat-niat lain hanya memadai dengan apa yang terdetik di hati kita mengikut apa yang kita faham terhadap perkara itu.  
Niat tidak perlu mengikut atau menggunakan bahasa Arab. Cukup dan memadai apa yang kita faham dengan tujuan niat itu.