Tuesday 13 December 2016

PENIPUAN SKIM PIRAMID CEPAT KAYA

Skim cepat kaya atau skim piramid menarik minat orang tamak menyertainya yang akhirnya menjadi mangsa tipu sehingga menyebabkan atau punca muflis.  

Kisah penipuan skim cepat kaya memang diketahui ramai kerana ia bukan perkara baru dan selalu didedahkan dalam media massa. Malangnya ramai yang masih tidak mengambil iktibar peristiwa pendedahan mangsa skim cepat kaya.  

Disebabkan tidak serik dan masih mempercayai skim cepat kaya yang menjanjikan perkara bukan-bukan, mereka rela ditipu dan menjadi mangsa.

Malah yang pelik ialah orang yang pernah ditipu dan masih rela ditipu untuk sekian kalinya. Mereka mengharapkan nasib kali ini lebih baik dan memberi keuntungan seperti yang dijanjikan. 

Paling ketara ialah penipuan berasaskan sistem piramid yang berselindung di sebalik jualan langsung. Mereka yang mengetahui kewujudan sistem piramid, tetapi masih meneruskan atas alasan dia berada di atas dan berpeluang mendapat keuntungan lebih tanpa mempedulikan nasib pelabur baru yang dibawa olehnya memasuki skim itu.

Perbuatan itu samalah dia merampas hak orang muslim lain. Sesungguhnya amat besar dosa yang dilakukan itu hingga menghalangnya memasuki syurga.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda bermaksud: “Sesiapa merampas hak orang muslim dengan sumpah, dia wajib masuk neraka dan haram baginya syurga.” (Riwayat Muslim).

Maka berhati-hatilah dalam urusan mencari rezeki. Sebaik-baik cara mencari rezeki ialah dengan bersungguh-sungguh melakukan usaha, biarpun terpaksa berdepan dengan kesukaran. Allah menyediakan seluruh penjuru alam ini untuk dimanfaatkan oleh manusia. 

Tidak ada jalan mudah untuk berjaya.  Kita perlu berusaha gigih.  Belajarlah dengan mereka yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing.  Pasti mereka menceritakan perit maung sebelum mereka berjaya.

Maka itu, jika ada yang menjanjikan kejayaan dengan mudah, pasti ada yang tidak kena.  Kita berkemungkinan akan menjadi mangsa penipuan.  Orang lain akan mengambil kesempatan atas kebodohan dan ketamakan kita.

Perniagaan jualan langsung umumnya dan yang dijalankan secara MLM khususnya adalah salah satu bentuk perniagaan yang telah menyumbang kepada pendapatan individu dan ekonomi negara.

Perniagaan dalam kategori ini menjadi suatu landasan yang memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menambah pendapatan isi rumah bagi menjana sumber mata pencarian secara tetap atau sampingan ke arah meningkatkan taraf hidup.

Antara ciri-ciri MLM ialah wujudnya barang untuk diniagakan.  Kita perlu menjual dan menaja orang lain untuk mengembangkan perniagaan.  Modal yang diperlukan kecil dan tidak ada paksaan untuk menyediakan wang yang banyak dalam jumlah tertentu.

Ini berlainan skim piramid yang mana perkiraan, pelan, pengendalian atau proses berantai yang bonus atau faedah diperoleh semata-mata atau terutamanya daripada perekrutan atau pengambilan peserta ke dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid berbanding dengan jualan barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara oleh peserta.

Skim piramid atau skim cepat kaya adalah tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah kerana berteraskan unsur perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang (money game) iaitu downline yang baharu ditaja oleh upline akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha mencari downline yang lain.

Skim piramid tidak mementingkan aspek penjualan. Sebaliknya pelan lebih memfokuskan kepada pencarian atau perekrutan ahli baharu (downline) semata-mata atau terutamanya dan bukan dengan tujuan menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk kepada pengguna-pengguna akhir secara sewajarnya.

Pendapatan peserta dan syarikat dalam skim piramid atau skim cepat kaya dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu semata-mata atau terutamanya dan bukan hasil daripada penjualan barang atau perkhidmatan.

Pembelian wajib barang atau perkhidmatan atau harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak jualan dikenakan sebagai syarat untuk melayakkan seseorang mendapat bonus atau faedah ekonomi lain dalam skim terhadap pembelian atau jualan peribadi atau pembelian atau jualan ahli di bawahnya.

Peserta tidak diberi pilihan dan dikehendaki melakukan "inventory front-loading” iaitu membeli barang atau perkhidmatan dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi jangkaan boleh dijual atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang munasabah.

Pembelian pangkat atau pembelian lebih daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi elemen skim piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.

Syarikat yang menetapkan struktur pembayaran bonus mengikut susunan hierarki yang ketat tanpa membenarkan peserta melangkau upline dengan tidak mengambil kira keupayaan dan usaha sebenar peserta adalah mengandungi elemen skim piramid yang bertentangan dengan hukum syarak.

Skim piramid mengandungi Unsur Penipuan, Penindasan, Manipulasi dan Eksploitasi Dalam Pelan Pemasaran dan Pelan Pemberian Insentif

Sebarang unsur penipuan, penindasan, manipulasi dan eksploitasi oleh ahli atau pengedar dalam usaha mencari ahli baharu semata-mata atau terutamanya untuk meningkatkan sasaran pencapaian kumpulan adalah ditegah oleh hukum syarak.

"Manipulasi" ertinya segala tindakan dan selok-belok untuk memperdaya orang atau mempengaruhi pendirian orang lain tanpa disedari orang itu.

"Eksploitasi" ertinya perbuatan (tindakan) mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan dan secara tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.

Skim piramid juga mengandungi unsur paksaan yang bertujuan untuk mencari ahli baharu hendaklah dibuat menerusi pendekatan dan kaedah yang telus dan berhikmah tanpa unsur paksaan yang boleh mengganggu atau mendatangkan kegelisahan dan kegusaran kepada individu yang didekati.

Skim piramid mengandungi unsur pembaziran apabila pembelian dalam kuantiti yang banyak tanpa justifikasi yang wajar semata-mata untuk mendapatkan bonus yang ditawarkan tanpa mempunyai strategi pemasaran yang sewajarnya.  

Sepatutnya pembelian produk yang ditawarkan oleh syarikat hendaklah berlandaskan kepada keperluan kepenggunaan sebenar dan/atau keupayaan untuk menjual produk tersebut.

Satu lagi unsur skim piramid ialah menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha
Mana-mana syarikat jualan langsung yang menjanjikan keuntungan tetap kepada peserta melalui pemberian komisen/bonus tanpa sebarang usaha yang jelas meliputi aktiviti promosi dan penjualan barang atau perkhidmatan adalah bertentangan dengan hukum syarak kerana mengandungi unsur riba.

Unsur lain yang perlu ditolak ialah apabila perniagaan mengandungi unsur syubhah. Dalam konteks perniagaan jualan langsung yang berteraskan multi-level marketing,syarikat hendaklah memastikan bahawa pelan pemasarannya adalah bebas daripada perkara yang tidak jelas atau syubhah dalam setiap aspek perniagaan tersebut meliputi pelan pemasaran, pemberian insentif, barang dan perkhidmatan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya bagi memastikan perniagaan yang dijalankan adalah mematuhi prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh Islam.

Rasulullah SAW bersabda bahawa perdamaian diharuskan di kalangan orang Islam kecuali perdamaian yang mengharamkan yang halal atau yang menghalalkan yang haram dan orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Prinsip saling reda-meredai penting dalam perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 29 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa sesungguhnya jual beli adalah berdasarkan konsep saling reda-meredai (kerelaan kedua-dua belah pihak). (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Penipuan dalam perniagaan amat ditegah dalam Islam. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah berjalan melalui satu timbunan makanan lalu baginda memasukkan tangannya dalam timbunan tersebut maka tersentuh jari-jarinya sesuatu yang basah, lalu baginda bertanya kepada tuan makanan tersebut, “Apa ini?” Lalu dia menjawab, “Makanan itu terkena air hujan”, Rasulullah lantas berkata, “Tidak bolehkah kamu meletakkan yang basah itu di atas sehingga orang dapat melihatnya,” kemudian baginda bersabda, “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Mereka yang menjalankan perniagaan dengan jujur akan sentiasa diberkati.  Sabda Rasulullah SAW: “Pembeli dan penjual mempunyai hak khiyar (pilihan untuk meneruskan akad atau pun tidak) selagi mana mereka belum berpisah. Sekiranya mereka berkata jujur dan menjelaskan (kondisi barang dan harganya) dalam jual-beli, kedua-duanya akan diberkati. Namun sekiranya mereka berdusta dan menyembunyikan (perkara yang sebenar), maka dihapuskan keberkatan jual beli mereka.‟ (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)  

Monday 5 December 2016

CARA HALANG SYAITAN DEKATI ANAK

 
Halang syaitan dekati anak.  Didik anak dengan kasih sayang.  Mendidik anak-anak adalah perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa. Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah. Sebagai ibu bapa, kita perlu ingat, anak-anak adalah amanah Tuhan kepada kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya.

Mereka lahir seperti kain yang putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat celanya. Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak dan warna tertentu. Dalam membesarkan anak-anak, pelbagai kesilapan dilakukan tanpa kita sedari. Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan mengenai aspek keibubapaan.

Dalam mendidik, anak-anak perlu diingatkan, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar.  

Salah satu cara mendidik ialah mewujudkan suasana kehidupan keluarga berdasarkan amalan muslim.  Ketika membaca ayat al-Quran, lakukan berhampiran bayi.  Bacaan ayat suci al-Quran menghalang syaitan mendekati anak-anak.  Amalan itu juga akan tersemai di dalam diri anak-anak dan menjadi amalan apabila dewasa.  Justeru, jangan kita abaikan didikan agama untuk anak-anak.

Ibu bapa juga perlu memberitahu kepada anak-anak tentang amalan baik yang lakukan.  Umpamanya jika ingin bersembahyang, beritahu anak tentang tanggungjawab bersembahyang bagi setiap muslim.  Anak-anak mendengar dan kemudian melihatnya memberi kesan mendidik yang lebih baik.

Biarpun perbuatan itu dirasakan janggal, lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.  Apabila anak semakin membesar, mereka mudah memahaminya.  Jika tidak dimulakan sejak awal, sukar untuk dilakukan kemudiannya.  Proses mendidik anak adalah tugas berperingkat-peringkat dan berterusan.

Dalam pendidikan Islam terdapat tiga perkara utama perlu ditekankan iaitu pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.  Ketiga-tiganya asas tonggak membentuk seseorang muslim sejati yang meliputi rohani dan jasmani.  Ketiadaan unsur ini menjadikan anak hilang panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Pendidikan akidah adalah tunjang kepada kehidupan.  Permulaan kalam ialah kalimah ‘Allah’.  Setiap muslim wajib berpagan kepada kalimah ‘bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah’ dan mengakui kekuasaan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Lukman pernah berkata kepada anaknya dan mengajarnya: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah; sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kesalahan yang besar.” (Surah Lukman, ayat 13).

Sebagai balasan kepada ibu bapa atas tanggungjawabnya, anak-anak perlu mentaati ibu bapa.  Kedudukan amat tinggi yang mesti diberi setiap anak kepada ibu bapa mereka. 

Firman Allah surah Lukman ayat 14 bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (upaya berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya mengandungkannya dengan menderita dalam keadaan lemah berterusan dan mencerai susu salam usia dua tahun.”  

Kata Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu adalah waktu, yang menipu itu adalah dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu adalah amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah membuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering kita lupa adalah bersyukur."

Thursday 1 December 2016

DERMA DARAH TIDAK BAHAYA


Individu kehilangan banyak darah akibat luka, kemalangan, ibu bersalin, pembedahan dan sebagainya perlu dipindahkan atau dimasukkan darah yang didermakan oleh individu lain.  Individu kehilangan darah mungkin berdepan ancaman maut jika tidak menerima darah yang mencukupi.  

Dengan kata lain, menderma darah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa mereka yang amat memerlukan bantuan. Setitik darah yang didermakan bakal menyelamatkan nyawa.  

Justeru, lebih banyak penderma darah perlu tampil untuk menderma darah. Bakal penderma tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri sendiri akibat menderma darah.

Menderma darah bukan sahaja tidak membahayakan diri penderma, bahkan dianggap satu amalan menjaga kesihatan. Sebelum bakal penderma darah menderma darah, terlebih dahulu tahap kesihatannya diperiksa bagi memastikan tidak ada kesan buruk selepas menderma darah. 

Proses menderma darah amat mudah dan mengambil masa amat singkat. Penderma darah tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses menderma darah. Perasaan relek dan puas lahir dalam diri setiap kali dapat menderma darah.  

Hakikat menderma darah tidak membahayakan diri dan tidak mendatangkan kesan sampingan tidak perlu diragui. Di negara kita sudah ramai menderma lebih 100 kali dan keadaan mereka masih sihat. 

Mereka terus setia menjadi penderma darah dan tidak pernah mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan. Bahkan, mereka tidak mengenali dan tidak pernah ambil peduli kepada siapa darah mereka didermakan atau dipindahkan.     

Bersimpatilah kepada mangsa yang amat memerlukannya dan bayangkan anda  sendiri memerlukannya. 

Bagaimana perasaan pada masa amat memerlukan darah yang menentukan hidup mati, tetapi tidak sesiapa sudi mendermakannya. Jadikan amalan menderma darah sebagai satu perkara yang diutamakan.  

Sebenarnya, tidak rugi mendermakan darah kerana ia akan diganti secara automatik oleh badan. Penderma darah tidak berasa kekurangan darah akibat menderma darah. Kuantiti darah yang didermakan atau dikeluarkan dari badan penderma tidak memberi kesan buruk kepada diri penderma darah.

Sesungguhnya amat besar pahala mereka yang melakukan kebaikan dengan cara apa sekalipun, lebih-lebih lagi dalam perkara penting yang menentukan hidup mati. 

Renungkan firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8 yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat kebajikan walaupun sebesar zarah, pasti akan diberi pembalasannya, dan sesiapa juga membuat kejahatan walaupun sebesar zarah, akan juga mendapat pembalasannya,”

Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim, maka Allah melepasngkan pula kesusahnnya kelak pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)

Setiap orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali untuk proses pendermaan cara biasa. 

Bagaimanapun, jika melalui kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan kemudian mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan menggunakan mesin khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara biasa.

Melalui kaedah Aferesis, darah dari badan penderma akan terus masuk ke dalam mesin yang akan mengasingkan sel darah merah dari plasma dan platelet. Plasma dan platelet akan dikumpul di dalam beg berasingan. Manakala sel darah merah akan dikembalikan atau masuk semula ke dalam badan penderma.

Banyak individu yang memberi alasan tidak mahu menderma darah. Kononnya perasaan takut, tidak sihat, sibuk, telah menderma sebelum itu dan pelbagai alasan lain diberikan. Semakin banyak alasan yang diberikan, lebih banyak pesakit yang menderita.  

Contohilah mereka yang telah lama menjadi penderma darah. Bersama-sama mereka membantu mangsa yang amat-amat memerlukan bantuan anda.

Wednesday 30 November 2016

NOVEL PALING POPULAR DIBACA

Kita terpaksa mengakui sikap suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak boleh dibanggakan. Kajian profil membaca rakyat Malaysia pada 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapat secara purata rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding 1996 yang hanya dua muka surat setahun. 

Kajian Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berusia 10 - 40 tahun membaca sebanyak 8 - 12 buah buku setahun.

Kajian yang sama mendapati mereka yang lebih berumur membaca 6 buah buku setahun. Secara amnya angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding purata hanya dua buah buku setahun yang dicatatkan dalam kajian pada tahun 2005

Jika pada tahun-tahun 90an, buku-buku bukan akademik yang dicari adalah buku-buku agama, pada tahun-tahun 2000 bacaan novel menjadi bahan bacaan pilihan yang paling popular. Ia diikuti dengan buku-buku motivasi, masakan, deko, kesihatan dan akhir-akhir ini, minat membaca masyarakat nampaknya sudah kembali semula kepada buku-buku agama.

Tidak dinafikan terdapat golongan yang membaca namun mereka hanya membaca bahan berbentuk hiburan dan santai. 

Buku yang berbentuk akademik atau pengetahuan tidak mendapat sambutan.  Perkara ini menyebabkan penulis dan penerbit kurang berminat untuk mengeluarkan buku berbentuk pengetahuan.

Dana Penerbitan Penggerak Industri Buku Negara yang disediakan oleh kerajaan diharapkan dapat meningkatkan jumlah penerbitan buku judul baharu karya asli berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang dan untuk pelbagai peringkat pembaca. 

Bantuan Baucar Buku 1Malaysia yang diberikan kepada pelajar tingkatan 6 dan pusat pengajian tinggi biarpun meningkatkan pembelian buku, tetapi tidak ketara berjaya meningkatkan minat membaca.  Banyak baucar buku ditebus semata-mata tidak mahu luput begitu saja. 

 Pada tahun 1995 dilaporkan 9 juta naskhah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pelbagai bidang tersadai di dalam stor sama ada ia tidak terjual ataupun tidak laku.  Biarpun kisah itu berlaku kira-kira 20 tahun lalu, hakikatnya keadaan masih tidak banyak berubah sehingga sekarang. 

Terdapat teori mengatakan pemupukan minat membaca tidak semestinya terus menggunakan buku atau bahan bacaan serius.  Jangan ditegah atau dicemuh mereka yang minat membaca majalah berbentuk hiburan dan gosip atau santai saja.

Amalan itu lebih baik daripada mereka tidak minat membaca langsung.  Tambahan pula, kandungan majalah kini dipelbagaikan yang turut menyelit rencana berbentuk pengetahuan dan agama.

Kita mengharapkan budaya membaca dapat ditingkat tanpa mengira apa tahap bahan bacaan itu.  Membaca majalah atau akhbar picisan juga mencetuskan gelombang budaya membaca dan diharapkan mereka kemudian berubah membaca bahan yang lebih serius dan berbentuk keilmuan. 

Penerbit majalah dan akhbar picisan diharapkan dapat menyelit atau memperbanyakkan bahan berilmu dan bermaklumat di dalam penerbitan mereka.   


Tuesday 29 November 2016

MAAF SEBELUM RAMADAN

Bila hampir masuk Ramadan, maka ada di kalangan kita menghulurkan salam kemaafan dengan alasan kerana takut nanti puasanya tidak diterima disebabkan tidak bermaaf-maafan.  

Hal ini disebabkan didakwa ada hadis yang menceritakan mengenai nasib mereka yang tidak bermaaf-maafan sebelum ketibaan Ramadan.

Hadis yang dimaksudkan ialah, “Ketika Rasullullah sedang berkhutbah pada suatu sembahyang Jumaat (dalam bulan Sya'ban), baginda mengatakan Amin sampai tiga kali, dan para sahabat begitu mendengar Rasullullah mengatakan amin, terkejut dan spontan mereka ikut mengatakan amin. Tapi para sahabat bingung, kenapa Rasullullah berkata Amin sampai tiga kali. 

Ketika selesai solat Jumaat, para sahabat bertanya kepada Rasullullah, kemudian baginda menjelaskan: "ketika aku sedang berkhutbah, datanglah Malaikat Jibril dan berbisik, hai Rasullullah aminkan doaku ini," jawab Rasullullah.

Doa Jibril itu adalah: "Ya Allah tolong abaikan (tolak) puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
- Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
- Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;
- Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan amin sebanyak 3 kali.

Berikut Ulasannya
Hadis yang dimaksudkan tidak terdapat dalam senarai hadis sahih mahupun palsu.  Maksudnya, hadis tersebut dipercayai tersibar di Nusantara yang dipercayai baru dicipta.  

Perbincangan atau pertanyaan mengenainya banyak ditimbulkan pada setiap kali tiba Ramadan.  Hal ini bukan saja berlaku di Malaysia, bahkan di negara-negara lain di Nusantara.

Hadis ciptaan atau palsu itu dirasakan disesuaikan oleh pihak tidak bertanggungjawab berdasarkan kepada hadis lain yang hampir sama dengannya, tetapi hakikatnya jauh berbeza.

Hadis dari Abu Hurairah (bahwasanya) Rasulullah SAW pernah naik mimbar kemudian berkata: Amin, Amin, Amin" Ditanyakan kepadanya : "Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan Amin, Amin, Amin?"

Baginda bersabda: Sesungguhnya Jibril datang kepadaku, dia berkata: "Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadan tapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan "Amin", maka akupun mengucapkan Amin...." (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah 3/192 dan Ahmad 2/246 dan 254 dan Al-Baihaqi 4/204 dari sanad Abu Hurairah.

Hadis ini shahih, asalnya terdapat dalam Shahih Muslim 4/1978. Dalam bab ini banyak hadis dari beberapa orang sahabat, lihatlah dalam Fadhailu Syahri Ramadhan hal.25-34 karya Ibnu Syahin]. Disalin dari Sifat Puasa Nabi SAW, hal. 27-28, Pustaka Al-Haura.

Yang lebih lengkap lagi dari buku Birrul Walidain oleh Yazid bin Abdul Qadir Jawas, hal. 44-45 terbitan Darul Qalam

"Ertinya: Nabi naik ke atas mimbar kemudian berkata, "Amin, amin, amin". Para sahabat bertanya. "Kenapa engkau berkata 'Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?"

Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : 'Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!' maka kukatakan, 'Amin', kemudian Jibril berkata lagi, 'Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadan tetapi keluar dari bulan Ramadan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!', maka aku berkata: 'Amin'.

Kemudian Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam berkata lagi. 'Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi justeru tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!' maka kukatakan, 'Amin". (Hadis Riwayat Bazzar dalama Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 dishahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah)]

Dengan demikian, hadis di atas tidak ada hubungan dengan keharusan bermaafan sebelum puasa Ramadan.

Memang meminta atau memohon maaf itu amalan mulia dan perlu diamalkan selalu.  Ia tidak terhad hanya apabila tiba Ramadan atau Aidilfitri semata-mata.  Apabila kita menyedari telah melakukan dosa atau kesalahan dengan orang lain, maka kita perlu segera memohon maaf. 

Memohon maaf adalah ciri-ciri orang mukmin sejati.   Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang maruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. (Surah Al-A'raf: 199)

Dalam ayat lain pula Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka maafkanlah dengan cara yang baik. (Surah Al-Hijr: 85)

Ayat 134 dalam surah Ali Imran pula bermaksud: “Orang-orang yang menafkahkan, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Dalam ayat lain pula Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan. (Surah Asy-Syura: 43)

Sesungguhnya, meminta maaf dan memaafkan seseorang dapat dilakukan bila-bila saja, dan tidak ada tuntunan syariat harus dikumpulkan dulu dan menunggu sampai menjelang bulan Ramadan.  

Memang tidak salah kita jadikan ketibaan Ramadan sebagai motivasi dan dorongan untuk bermaaf-maafan.  Pun janganlah kita anggap perkara itu disandarkan kepada sesuatu hadis yang sebenarnya hadis palsu. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

KEPENTINGAN FUNGSI KOLAGEN

Fungsi kolagen. Kolagen merupakan struktur protein utama yang terkandung dalam tisu penghubung manusia dan turut terkandung dalam hidupan lain seperti ikan dan mamalia.

Kolagen mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan tubuh badan manusia termasuklah pada bahagian kulit. Ia berupaya melembut, mengukuh dan meningkatkan keanjalan kulit di samping mempercepatkan proses pemulihan pada kulit yang terluka.

Selain itu, kolagen juga berperanan membuang lemak berlebihan dari tubuh, memelihara sel dan tahap metabolisme tubuh badan.

Secara semulajadi, terdapat lebih kurang 30% kolagen di dalam tubuh badan kita dan ia terdapat dalam kulit, tulang dan juga gigi.

Antara kepentingan kolagen:

Mengekalkan kelembapan dan mencegah kedutan 
Kolagen merupakan komponen utama dalam kulit kita. Ia mempertingkatkan penghasilan sel-sel baru, membantu memelihara keremajaan kulit, melembut dan membuatkan kulit lebih bercahaya.

Kolagen juga efektif untuk menghilangkan kedutan dan mencegah proses penuaan kulit.

Memulihkan masalah kulit 
Apabila kolagen disuntikkan ke dalam kulit yang terluka, ia akan menstimulasikan pertumbuhan sel-sel kulit baru dan menyediakan perlindungan kepada kulit.

Kolagen sangat efektif untuk memulihkan parut, pengecutan ephithelium, kedutan dan garis-garis halus.

Mencantik dan menyuburkan rambut 
Nutrisi dalam kulit kepala sangat penting untuk memelihara kesihatan rambut. Kandungan kolagen dalam lapisan korium merupakan bekalan nutrisi kepada epidermis, rambut dan kuku.

Kekurangan kolagen menyebabkan rambut kering dan bercabang, manakala kuku menjadi kusam dan mudah pecah.

Menegangkan payudara 
Kesan kolagen untuk menegangkan payudara sudah pun diketahui umum. Payudara sebenarnya terbentuk oleh jaringan-jaringan penyambung dan kumpulan lemak yang berperanan sebagai penyokong bagi pembentukan payudara.

Kolagen merupakan komponen utama dari jaringan-jaringan penyambung dan bertindak dengan protein polisakarida untuk membentuk satu jaringan yang kuat untuk menyokong dan menegangkan payudara.

Menguatkan tulang 
Penyatuan kolagen yang secukupnya adalah penting untuk membentuk kerangka tulang yang kuat. Oleh itu,kolagen juga dikenali sebagai kerangka tulang.

Masalah osteoporosis dan kekejangan kaki adalah berpunca darpadai kehilangan kolagen yang membentuk 80% daripada jumlah kepadatan tulang sedangkan kehilangan kalsium, magnesium dan fosforus hanya 20%.

Pengambilan kalsium tambahan sebenarnya tidak dapat menangani masalah tersebut. Hanya dengan pengambilan kolagen yang mencukupi dapat mengembalikan kepadatan tulang yang normal, dan juga dapat memperlambatkan osteoporosis.

Mencerahkan kulit dan mengurangkan pigmentasi 
Kolagen dapat merapatkan sel-sel dan mempercepatkan pembentukan sel-sel baru.

Dengan fungsi ini, ia secara efektif dapat mencegah pengumpulan pigmen dan racun, membantu mencerahkan kulit dan mengurangkan pigmentasi.

Melambatkan proses penuaan kulit 
Seiring dengan peningkatan usia dan gaya hidup yang sibuk, kandungan kolagen dalam kulit akan semakin berkurangan dan kerana itu, kulit menjadi kering dan kusam.

Pengambilan kolagen secara berterusan dapat membantu kulit untuk menyeimbangkan semula kolagen yang berkurangan.

Penghasilan kolagen berkurangan dengan kadar 1.5% pada setiap tahun selepas usia 25 tahun. Kesan penurangannya mula dirasai lebih kurang 10 tahun kemudian.
Selepas usia 45-50 tahun, badan kita akan kehilangan hampir separuh daripada kolagen yang ada. Jadi, semakin tua, semakin berkurangan kolagen dalam badan.
Oleh itu kolagen diambil sebagai makanan kesihatan untuk pelbagai penyakit seperti osteoarthritis (sakit sendi), osteoporosis, arteriosclerosis selain untuk kegunaan kosmetik dan pelembab kulit.

KHASIAT PISANG BERI KESAN KESIHATAN TERBAIK

Pisang amat diminati penduduk di Malaysia sama ada dimakan mentah, dibuat pengat, direbus, dijadikan bahan asas jemput-jemput dan tentu sekali paling diminati ialah pisang goreng. 
 
Pisang kaya khasiat, kebaikan dan manfaat yang perlu dijadikan alasan mengapa perlu makan pisang.

Pisang mengandungi tiga jenis gula semula jadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan.

Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa dua biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia.

Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

KHASIAT PISANG

Tekanan perasaan
Merujuk kepada satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang.

Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

Anemia
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tidak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan darah tinggi
Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi dan rendah garam, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa minda
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengah hari.

Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap.

Penghadaman
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian yang dapat membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu.

Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas jantung
Pisang mempunyai kesan antiasid semula jadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam pagi
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan nyamuk
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang.

Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi.

Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan suhu
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung.

Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar.

Seasonal Affective Disorder (SAD)
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari.

Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semula jadi yang membaik pulih perasaan kita.

Ketagihan rokok
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaik pulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Tekanan kerja
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh.

Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok
Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40 peratus!

Penyakit kulit
Pengamal perubatan semula jadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.

Jadi, pisang memang merupakan ubat semula jadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protein, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”